Tindakan tegas sewakan unit rumah PPR, RSK
PASIR GUDANG - Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Rumah Sewa Kerajaan (RSK) yang didapati mengambil kesempatan dengan menyewakan pula rumah-rumah tersebut kepada pihak lain dalam usaha meraih keuntungan.
Menurut Exco Perumahan Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 2,000 penyewa PPR dan RSK di negeri ini yang telah menyewakan unit rumah masing-masing kepada orang lain.
Justeru katanya, antara tindakan tegas yang akan diambil terhadap penyewa-penyewa berkenaan ialah dengan membatalkan perjanjian asal yang mereka miliki.
“Kita mula buat semula 'profiling' sejak 2022 kerana dah banyak aduan membabitkan penyewa PPR dengan RSK yang menyewakan unit mereka kepada pihak ketiga.
"Malah, lebih buruk lagi, ada penyewa yang mengenakan sewaan sehingga tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar sewa asal iaitu RM200 hingga RM300 sebulan dan keadaan ini semakin berleluasa setelah tidak ada penguatkuasaan dibuat.
"Setakat ini, 80 peratus profiling telah kita buat daripada keseluruhan 14,500 penyewa di PPR dan RSK dan dianggarkan kira-kira 2,000 unit disewakan kepada pihak ketiga dengan kadar sewa yang tinggi,” katanya.
Mohd Jafni berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyempurnakan perasmian Program Pemerkasaan Komuniti RSK Cendana Pasir Gudang, di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, cadangan bagi PPR Larkin telah diluluskan dan pihaknya masih menunggu lagi kelulusan bagi lima lagi PPR termasuk di Ulu Tiram, Permas, Pengerang, Tenggara dan Sembrong.
Mengulas mengenai tindakan pembatalan perjanjian asal yang akan dilakukan kepada penyewa atas tindakan tersebut, ia merupakan tindakan yang sesuai dengan tindakan salah guna kemudahan yang dilakukan penyewa-penyewa tersebut.
Katanya, program PPR dan RSK adalah antara inisiatif daripada kerajaan bagi membantu golongan B40 untuk tinggal di bandar dengan kadar sewa yang rendah.
“PPR dan RSK merupakan usaha kerajaan untuk membantu golongan B40 bawah untuk tinggal di kawasan bandar dengan kadar sewa yang rendah.
“Bagaimanapun, kemudahan itu telah disalahgunakan dan kerajaan negeri akan bertindak tegas terhadap individu yang berbuat demikian kerana ini (tindakan) tidak betul kerana PPR dan RSK untuk golongan B40 dan ke bawah dan tidak sepatutnya sewa pula kepada orang lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!