Lebih 2,000 penduduk bantah bina kuil di Taman Koperasi Cuepacs
KAJANG - Lebih 2,000 penduduk Taman Koperasi Cuepacs di sini menandatangani petisyen membantah pembinaan kuil dalam taman perumahan mereka kerana berisiko menimbulkan kacau ganggu dan halangan.
Wakil Jawatankuasa Bertindak Taman Koperasi Cuepacs Dan Jalan Desa Baru, Mohd Faizal Azmi Mat Said berkata, tiada keperluan kuil dibina dalam kawasan perumahan yang 85 peratus terdiri majoriti Melayu, hanya 10 peratus India manakala lima peratus Cina.
Menurutnya, bantahan juga dibuat susulan sudah terdapat sebuah kuil yang beroperasi 300 meter dari tapak kuil berkenaan.
"Kebanyakan mereka yang akan menggunakan kuil ini nanti bukan penduduk setempat sebaliknya dari luar.
"Ia akan mengganggu penduduk setempat dengan kenderaan keluar masuk dan masalah kesesakan lalu lintas.
"Kuil ini tidak seharusnya dibina memandangkan sudah terdapat sebuah kuil 300 meter dari lokasi ini, tiada keperluan sebuah lagi kuil dibina dalam kawasan perumahan," katanya pada sidang akhbar bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada Sabtu.
Katanya, petisyen bantahan telah dibuat sejak 2009 dan 2012 kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) namun tiada sebarang tindakan diambil.
"Maklum balas MPKj hanya diterima selepas pihak kuil mula membuat binaan tapak pada 2014.
"Melalui Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat memaklumkan tanah tersebut berstatus kemajuan akan datang pada 1987 namun pada 2020 statusnya telah berubah daripada kediaman kepada bangunan kuil.
"Pada 2017, pihak kuil telah mendapat kelulusan kebenaran merancang tanpa ada persetujuan daripada penduduk setempat dalam kawasan ini yang majoriti beragama Islam," katanya.
Beliau berkata, penduduk terus membuat bantahan pada 2018 dan tahun lepas disusuli himpunan aman pada 14 Januari lalu.
Katanya, pada 17 Januari lalu, barulah MPKj mengeluarkan notis kesalahan kepada pihak kuil di bawah Seksyen 70 (1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana mendirikan bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Pihak kuil diarah menghentikan kerja pembinaan serta-merta dan mengambil langkah diperintahkan oleh MPKj.
"MPKj telah meletakkan batu halangan dan tali di laluan keluar masuk kuil melalui Jalan Cuepacs 5E dan Jalan Desa 2A tetapi batu halangan tersebut telah diangkat semula atas campur tangan ahli majlis dan orang politik," katanya.
Mohd Faizal Azmi berkata, laporan polis telah dibuat susulan isu tersebut dan kini menuntut status terkini daripada MPKj.
Ujarnya, surat bantahan juga telah dibawa kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memohon campur tangan.
"Kami difahamkan pembinaan kuil kini mencecah RM1 juta dan kami mahu projek tersebut dihentikan bagi mengelak sebarang masalah pada kemudian hari.
"Kami tidak mahu jadi seperti bangunan resort runtuh dalam kejadian tiga bulan lepas di kawasan Majlis Daerah Besut (MDB) susulan membina bangunan tanpa kebenaran walaupun di atas tapak persendirian," katanya.
Sementara itu, Pegawai Khas Komunikasi PPIM, Gulab Jan Fazal Eladi berkata, PPIM memohon pihak berwajib membuat semakan pematuhan piawaian penyediaan rumah ibadat dalam kawasan perumahan di bawah garis panduan KPKT.
"Piawaian penyediaan rumah ibadat menetapkan perlu ada 2,300 penganut di bandar dan lingkungan tapak kuil 100 meter dari kediaman majoriti lain (Islam).
"Selain itu, dalam jarak 300 meter tidak boleh ada rumah ibadat lain dan jarak tapak kuil ke kawasan perumahan Hindu mesti berada dalam lingkungan 400 meter.
"Kesemua syarat ini mereka tidak ikut, " katanya.
Pihaknya juga mendapati, pihak kuil tidak mematuhi Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
"Banyak kesalahan telah dibuat antaranya Perkara 18 (1), 19 (1),20, 21 (6) dan 21 (7) di bawah Akta 172.
"Selain itu, Perkara 70 (1) dan 70A (1) di bawah Akta Tanah, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
"Kesalahan tersebut perlu diambil tindakan berdasarkan Perkara 26.1 Akta 172 dan Perkara 72 (1) dan Akta 133," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!