Dua beranak pakai kostum 'Power Rangers' cari rezeki
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mengetepikan perasaan malu dengan tampil mengenakan pakaian kostum siri adiwira popular, Power Rangers di Pasar Kedai Payang, di sini demi mencari sumber pendapatan sampingan untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Bekas kakitangan syarikat pengangkutan, Mohd Amirul Alif Jofri, 33 berkata, keputusan itu diambil selepas berpisah dengan isterinya dan diberhentikan kerja ekoran penularan pandemik Covid-19 sebelum ini.
"Mula-mula pakai kostum ni ada timbul perasaan malu, tetapi saya abaikan sahaja perasaan tu. Selain tu saya juga terpaksa menahan panas sebab terpaksa pakai pakaian ni dalam jangka masa agak lama, tetapi lama kelamaan dah jadi biasa.
"Niat saya buat ni untuk nak tambah sumber pendapatan sebab sekarang boleh dikatakan semua barang mahal, jadi untuk tambah pendapatan saya perlu lakukan sesuatu," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.
Menurut Mohd Amirul Alif, dengan bermodalkan RM3,000, dia bersama anak lelakinya, Mohd Afif Darwis, 9 akan memakai kostum itu bersama-sama pada setiap hujung minggu sejak empat tahun lalu.
Katanya, walaupun tidak mewah, hasil sumbangan orang ramai cukup untuk menampung perbelanjaan harian mereka sekeluarga.
"Saya tidak menetapkan bayaran kerana terpulang kepada pengunjung untuk membayar seikhlas hati," kata bapa kepada dua anak itu.
Selain Pasar Payang, mereka turut memakai kostum itu di lokasi tumpuan pelancong seperti Pasar Kedai Payang dan Pantai Batu Buruk serta turut menerima undangan di majlis-majlis keraian sekitar Terengganu dengan bayaran RM100 sejam.
"Saya gembira dapat menceriakan suasana majlis dan pada masa sama, saya juga dapat rezeki tambahan dengan memakai kostum ini,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Amir berkata, dia tidak berhasrat menjadikan kerjaya ini sebagai satu karier tetap memandangkan pendapatan yang diterima tidak menentu.
"Saya masih berusaha mencari pekerjaan lain yang dapat menjamin masa depan kami sekeluarga," katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Shahril Othman, 33 berkata, usaha dilakukan Mohd Amirul Alif dapat menjadi tarikan di lokasi tumpuan ramai.
"Ini usaha yang baik untuk dia mencari rezeki dan dengan adanya kostum ini, ia akan dapat menarik lebih ramai pengunjung yang datang ke situ," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!