23 premis makanan ada lipas, tikus diarah tutup
SHAH ALAM - Sebanyak 23 premis di Selangor diarahkan tutup serta-merta pada Khamis selepas dikesan beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Ummi Khaltom Shamsudin berkata, hasil pemeriksaan
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di premis mendapati terdapat urungan lipas dan tikus.
Menurut beliau, Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih dan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau itu memberi tumpuan terhadap penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan memastikan premis makanan beroperasi pada tahap kebersihan piawaian ditetapkan.
"Kita menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas 514 premis makanan.
"Sebanyak 23 premis daripadanya diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana mengabaikan aspek kebersihan premis dan penemuan makhluk perosak iaitu lipas dan tikus," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dr Ummi Khaltom memberitahu, sebanyak 447 notis dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM286,500 bagi kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Dalam pada itu, ujar beliau, sebanyak 51 notis kompaun berjumlah RM12,750 turut dikeluarkan melibatkan 45 kesalahan di bawah Peraturan 12 (1) Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.
"Pemilik premis antaranya tidak mempamerkan tanda larangan merokok dan kesalahan merokok di premis makanan," tambah beliau.
Katanya, operasi penguatkuasaan berterusan ke atas perokok di dalam premis akan dipergiatkan di semua daerah di negeri ini.
"Sebanyak 10,142 premis makanan diperiksa JKNS tahun lalu dan 430 daripadanya diarah tutup kerana didapati tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!