Seksyen 36 berkait perkara mengkhayalkan, bukan minuman memabukkan
Bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Liyana Marzuki berkata, perkara yang membabitkan minuman memabukkan berada di bawah Seksyen 35 enakmen tersebut dan ia masih berkuat kuasa di Kelantan.
"Apa-apa yang memabukkan berada di bawah Seksyen 35 masih sah dan tidak pernah terbatal.
"Seksyen 36 yang dibatalkan itu mengenai benda yang mengkhayalkan macam dadah. Memanglah sebab ia dah bertindan dengan jenayah dadah yang polis kuat kuasakan," katanya dalam satu hantaran di aplikasi X pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang persoalan yang dibangkitkan dalam program Di Sebalik Isu bersama FY bertajuk Kuasa mahkamah syariah mudah dicabar, mana silapnya? dihoskan Finaz Yunus yang disiarkan oleh Sinar Harian pada Jumaat.
Menerusi hantaran berkenaan, aktivis masyarakat itu turut memuat naik gambar perincian mengenai Seksyen 35 dan Seksyen 36 untuk semakan pengikut laman sosialnya.
Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 hari pada 9 Februari lalu memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.
Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun berkata, Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34, 36, 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47, 48 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Menurut Liyana, hos terbabit dengan yakin menyebut bahawa Seksyen 36 adalah mengenai apa-apa yang memabukkan.
"Saya harap hos bersedia minta maaf dan betulkan. Ini dah kira satu kekeliruan dan berita palsu," ujarnya.
Hantaran itu kemudiannya mendapat respons Finaz yang mengakui kesilapannya kerana keliru antara kedua-dua seksyen berkenaan serta mengucapkan terima kasih atas teguran tersebut sebelum ia dijawab oleh Liyana.
Kata Liyana, Finaz sangat profesional dan berharap satu kenyataan dibuat untuk membetulkan semula fakta sebenar memandangkan rakaman video program berkenaan sudah dikongsi dan tular.
"Saya pun bukan maksum. Kalau salah boleh tegur. Niat kita mendidik. Kalau didikan salah, boleh betulkan," tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!