Finaz mohon maaf, akui khilaf salah rujuk
SHAH ALAM - Moderator Di Sebalik Isu bersama FY, Finaz Yunuz memohon maaf susulan kekhilafan memetik Kesalahan Seksyen 36 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 sebagai perkara yang memabukkan ketika bertanyakan soalan dalam sesi program dikendalikannya itu pada Jumaat.
Finaz berkata, selepas menyedari teguran peguam, Liyana Marzuki menerusi ruangan komen di perkongsian programnya itu, dia telah meminta pihak penerbitan untuk menurunkan video tersebut.
Susulan itu, dia berterima kasih dan mengambil pengajaran atas teguran Liyana berhubung kesilapan yang dilakukannya itu.
“Sememangnya Seksyen 35 dan 36 telah disalah petik dalam soalan saya sehingga mengakibatkan rujukan kepada perkara mengkhayalkan yang dirujuk di bawah Seksyen 36 (yang dibatalkan) telah disalah rujuk kepada perkara yang memabukkan (yang tidak dibatalkan) di bawah Seksyen 35.
“Walau apa sekalipun, saya berterima kasih di atas teguran ini dan telah meminta pihak penerbitan untuk menurunkan video berkaitan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Pada Jumaat, Liyana yang juga aktivis masyarakat mengulas tentang persoalan dibangkitkan Finaz dalam program Di Sebalik Isu bersama FY bertajuk Kuasa Mahkamah Syariah Mudah Dicabar, Mana Silapnya? yang disiarkan melalui platform digital Sinar Harian.
Menerusi hantaran berkenaan, Liyana turut memuat naik gambar perincian mengenai Seksyen 35 dan Seksyen 36 untuk semakan pengikut laman sosialnya.
Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 hari pada 9 Februari lalu memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.
Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.
Dalam pada itu, menurut Finaz, menerusi rakaman penuh program tersebut, barisan panelis juga memberi penjelasan lengkap bahawa kesemua seksyen yang masih tidak terbatal hendaklah disemak untuk mengetahui sama ada aktiviti jenayah mana yang dibatalkan atau tidak.
Ulasnya, penjelasan itu juga dapat membantu memberi pencerahan berhubung isu tersebut kepada orang ramai.
“Saya bukan mahu menyalahkan sesiapa. Selaku hos dan penerbit, saya mengakui kekhilafan saya disebabkan tersalah petik. Sewajarnya saya patut merujuk kertas penghakiman.
“Namun kebaikan masa hadapan, agensi media kerajaan sendiri juga perlu berhati-hati," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!