Kedai terbakar, tong gas meletup

Keadaan dalam kedai makan Zulfikar selepas kejadian kebakaran.
Keadaan dalam kedai makan Zulfikar selepas kejadian kebakaran.
A
A
A

MACHANG - Seorang peniaga kedai makan mengalami kerugian lebih RM50,000 selepas dua lot kedai yang disewanya terbakar dalam kejadian jam 1 tengah hari Sabtu.

Zufikar Mokhtar, 46, datang ke kedainya di bandar Machang pada waktu itu kerana ada temu janji pemasangan internet.

Katanya, sebaik sahaja sampai di kedai, dia melakukan rutin seperti biasa iaitu menjerang air sebagai persediaan memulakan perniagaan pada jam 3 petang.

"Saya meninggalkan air di atas dapur gas yang dipasang api sebelum pergi bertemu individu yang sedang memasang internet.

"Tidak sampai lima minit, kami terdengar letupan gas yang kuat dan saya terus berlari ke bahagian dapur," katanya.

Zulfikar melihat keadaan kedainya di Bandar Machang yang musnah dalam kebakaran tengah hari tadi
Zulfikar melihat keadaan kedainya di Bandar Machang yang musnah dalam kebakaran tengah hari tadi

Bapa kepada seorang anak berusia 19 tahun itu cuba mengambil beberapa dokumen penting namun bulu kening dan rambutnya terkena api.

Jelasnya Zulfikar lagi, dia terus berlari keluar dari kedai untuk menyelamatkan diri dan mujur ada individu yang menghubungi pihak bomba.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kekalutan itu, saya nampak isteri, Rohana Abd Wahab, 43, berada di bahagian tepi kedai dan dia memaklumkan terdengar bunyi letupan kuat dari rumah yang hanya 500 meter dari kedai," katanya.

Zulfikar yang sudah 12 tahun berniaga di kedai itu memberitahu, kebakaran mengakibatkan semua barang dan peralatan perniagaan hangus 100 peratus dan tidak dapat diselamatkan lagi.

"Saya belum lagi dapat memikirkan perancangan selepas ini tetapi mungkin berniaga di lokasi lain kerana semua barang sudah musnah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!