Perlu ada ketelusan dalam pengurusan kutipan derma - PM

Anwar Foto Bernama
Anwar Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perlunya ada ketelusan dalam pengurusan sebarang dana kutipan derma di negara ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, setiap kutipan derma oleh mana-mana organisasi perlu mengikut peraturan bagi memastikan ia dapat disalurkan kepada golongan sasar yang memerlukan.

Beliau berkata, Kerajaan Madani sendiri sentiasa mengutamakan kepentingan dalam soal pengurusan kewangan dengan penekanan kepada tata kelola yang betul bagi mengelakkan ia disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

"Sebab itu kita cadangkan semua derma ini ikut saluran dan kita minta supaya diteliiti jumlahnya dan apa dibeli dan berapa banyak diserahkan, perlu ada ketelusan,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas menghadiri sesi dialog sempena Majlis Perasmian Penutupan Pemukiman Setiausaha Akhbar dan Ketua Komunikasi Korporat di sini pada Sabtu.

"Itu sebabnya, dalam soal pengurusan tata kelola, kena teliti, kerana kita kutip derma, (contohnya) buat sekolah maahad tahfiz, kena ada peraturan, kalau tidak, dia kutip itu kemudian baiki rumah, sebab itu kita kena ikut peraturan,” katanya lagi.

Turut hadir dalam program selama dua hari yang bermula semalam itu ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Terdahulu, Anwar menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan peserta yang terdiri daripada setiausaha akhbar kepada menteri-menteri dan warga komunikasi korporat meliputi pelbagai topik dan isu semasa. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!