Belajar al-Quran dengan empat bahasa
SHAH ALAM - Umat Islam berpeluang belajar dan memahami kosa kata al-Quran dengan empat bahasa melalui aplikasi Think Quran iaitu Melayu, Inggeris, Indonesia dan Turkiye.
Pengguna aplikasi Think Quran, Amirul Fahim Amir, 28, berkata, kepelbagaian bahasa jelas menunjukkan Think Quran bukan sahaja memfokuskan terhadap umat Islam di negara ini tetapi untuk warga lain seperti Indonesia dan Turkiye.
“Aplikasi ini membuka ruang lebih luas untuk orang Islam di negara lain memahami bahasa al-Quran,” katanya.
Terdahulu, aplikasi Think Quran dibangunkan Think Osem Sdn Bhd turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Karya Bestari bagi menganjurkan kempen #FahamKhatamAlQuran.
Aplikasi tersebut menawarkan kaedah mudah fahami bahasa al-Quran melalui penguasaan kosa kata meliputi keseluruhan kitab suci berkenaan.
Menurut Amirul, bahagian paling disukai dalam aplikasi Think Quran adalah ruangan latihan kerana dapat menentukan tahap kemahiran pembaca.
“Kita boleh tahu sama ada berada di tahap lemah, bagus atau mahir. Caranya adalah dengan kerap melakukan latihan. Kalau boleh setiap hari semakin lama semakin mudah.
“Setiap hari saya akan curi masa antara 20 hingga 25 minit untuk menggunakan aplikasi Think Quran dan alhamdulillah, sekarang mahir lebih 700 perkataan kerana suka ulang-ulang,” ujarnya.
Katanya, walaupun pandai bahasa Arab, namun masih tidak faham kandungan al-Quran.
“Saya belajar bahasa Arab sejak tingkatan satu hingga universiti, namun ia tidak memberi jaminan yang kita memahami al-Quran kerana bahasa digunakan adalah tahap tinggi.
“Alhamdulillah, selepas menggunakan aplikasi ini saya dapat menangkap maksud ayat al-Quran itu menceritakan tentang apa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!