Sukan Malaysia pada tahun 2020

Pasukan tenpin boling negara merangkul pingat emas setelah membuat 4,980 jatuhan pin. - Foto Bernama
Pasukan tenpin boling negara merangkul pingat emas setelah membuat 4,980 jatuhan pin. - Foto Bernama
A
A
A

ANDAI disorot kembali arena sukan Malaysia sepanjang tahun lalu, mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan lebih banyak kisah duka berbanding cerita gembira.

Paling mengecewakan sudah pasti cerita kegagalan kontinjen Malaysia mencapai sasaran 70 pingat emas pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina. Ia dianggap episod penuh duka buat arena sukan negara.

Apa tidaknya, kegagalan itu memberi tamparan hebat kepada kontinjen Malaysia yang sebelum itu gah selaku juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017). Kontinjen Malaysia yang diketuai Datuk Megat Zulkarnain Omardin terpaksa menelan segala kepahitan atas kegagalan itu.

Di sebalik ‘gerhana’ yang melanda kontinjen Malaysia pada Sukan SEA2019, pencapaian beberapa atlet yang berjaya mencipta kejutan setidak-tidaknya mampu memberikan sedikit penawar duka buat peminat sukan tanah air.

Pelari pecut, Muhammad Haiqal Hanafi antara yang mencuri tumpuan. Tanpa diletakkan harapan tinggi, anak muda berusia 21 tahun dari Senawang, Negeri Sembilan itu memahat sejarah tersendiri apabila menyambar kilauan emas dalam acara ‘riben biru’ 100 meter.

Dalam pada peminat sukan tanah air meratapi kegagalan kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2019, sebelum itu mereka sudah dikejutkan dengan berita sedih persaraan dua bintang terbilang dunia iaitu Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David. Mungkin secara kebetulan, kedua-dua ikon sukan Malaysia itu membuat keputusan untuk bersara pada tahun yang sama.

Tarikh 13 Jun 2019 sudah pasti menjadi tarikh penting dalam lipatan sejarah sukan negara. Pada tarikh itulah Chong Wei mengalirkan air mata kesedihan sebaik saja mengumumkan persaraannya. Bagi Nicol pula, sudah tiba masanya dia mengundur diri selepas 27 tahun mengerah keringat dan kudrat di gelanggang tenis.

Persaraan Chong Wei dan Nicol serta kisah suka duka kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2019 itu mungkin menjadi antara rencah utama berita sukan tanah air sepanjang tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Kini tirai 2020 sudah disingkap. Ayuh barisan atlet negara. Perjuangan anda belum selesai. Jadikan kegagalan lalu sebagai pengajaran. Tekadkan azam 2020 sebagai tahun kebangkitan!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!