Penempatan haram PATI ada surau, kedai runcit digempur

Keadaan kediaman yang didiami warga asing di kawasan ladang kelapa sawit terbiar di Setia Alam dekat sini pada Ahad.
Keadaan kediaman yang didiami warga asing di kawasan ladang kelapa sawit terbiar di Setia Alam dekat sini pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kedai runcit, warung selain surau serta tandas kegunaan ramai antara kemudahan ditemui menerusi serbuan di lokasi penempatan warga asing yang berselindung di sebalik ladang kelapa sawit terbiar dekat Setia Alam di sini pada Ahad.

Penempatan terbabit yang dihuni lebih 300 warga asing itu dipercayai wujud sejak empat tahun lalu selain difahamkan disewa dengan anggaran RM6,000 sebulan.

Sinar Harian yang turut berpeluang mengikuti operasi itu mendapati penempatan berkenaan turut dilengkapi kemudahan elektrik selain bekalan air.

Selain itu, penempatan ini turut dilengkapi pagar yang diperbuat daripada zink dan kayu dipercayai untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Difahamkan lokasi ini menimbulkan perasaan tidak selesa penduduk setempat sejak beberapa tahun lalu ekoran kehadiran warga asing yang semakin bertambah di kawasan terbabit.

Anggota Imigresen menjalankan pemeriksaan di beberapa unit kediaman diduduki warga asing di kawasan ladang kelapa sawit terbiar di Setia Alam dekat sini dalam serbuan pada Ahad.
Anggota Imigresen menjalankan pemeriksaan di beberapa unit kediaman diduduki warga asing di kawasan ladang kelapa sawit terbiar di Setia Alam dekat sini dalam serbuan pada Ahad.

Penempatan itu turut mempunyai ketua kampung yang dilantik di kalangan mereka yang menetap di sini.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 2.30 pagi sehingga 5 pagi melibatkan penempatan yang terletak di tanah berkeluasan anggaran 0.6 hektar itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, operasi melibatkan seramai 220 pegawai dan anggota daripada pelbagai bahagian Imigresen Malaysia itu turut dibantu beberapa agensi antaranya Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Pemeriksaan melibatkan 156 warga asing dan hasilnya seramai 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan melibatkan mereka berumur antara sembilan bulan hingga 60 tahun.

Jafri (kiri) bersama anggota dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Imigresen Malaysia Selangor memeriksa dokumen warga asing yang ditahan dalam serbuan pada Ahad.
Jafri (kiri) bersama anggota dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Imigresen Malaysia Selangor memeriksa dokumen warga asing yang ditahan dalam serbuan pada Ahad.

"PATI yang ditahan terdiri daripada 78 lelaki, 41 wanita dan 13 kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di sini pada Ahad.

Katanya, warga asing yang tinggal di penempatan ini dipercayai bekerja di kawasan sekitar.

"Warga asing ini bekerja sebagai tukang cuci, buruh binaan dan pekerja restoran dan kita percaya mereka tinggal di sini atas faktor lokasi tempat kerja mereka di sekitar kawasan ini.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Menurutnya, kesemua tangkapan ini dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Selangor untuk saringan dokumen.

"Kesemua yang ditahan akan disaring menerusi sistem imigresen bagi semakan dokumen dan pas sebelum dimuktamadkan proses tangkapan.

"Setelah selesai proses ini, laporan polis akan dibuat bagi penangkapan dan penahanan mereka di bawah Seksyen 51 (5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," katanya.

Antara warga asing ditahan untuk pemeriksaan ketika serbuan dijalankan pada Ahad.
Antara warga asing ditahan untuk pemeriksaan ketika serbuan dijalankan pada Ahad.

Jafri berkata, serbuan ini adalah salah satu daripada beberapa siri operasi yang dijalankan sebelum ini.

"Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan berdasarkan aduan yang diterima dan didaftarkan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI boleh menyalurkannya kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Selangor untuk tindakan lanjut diambil," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!