Kebakaran Flat Sri Sabah: Polis tunggu laporan forensik bomba
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis masih menunggu laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkaitan kes kebakaran lima unit rumah di tingkat 17, Flat Sri Sabah, Cheras, di sini, pada 11 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, laporan forensik dapat membantu menentukan punca kebakaran.
"Masih dalam siasatan, kita sedang menunggu laporan forensik JBPM untuk menentukan punca kebakaran," katanya ringkas ketika dihubungi pada Ahad.
Pada 11 Februari lalu, media melaporkan lima buah rumah musnah 85 peratus sehingga 97 peratus, manakala satu unit rumah lagi berjaya diselamatkan.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima laporan mengenai kebakaran itu jam 9.19 malam.
Seramai 16 penghuni daripada lima buah rumah terkesan dalam kejadian terbabit.
Susulan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan rumah sementara atau transit kepada semua mangsa tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, semua mangsa dibenarkan menduduki rumah itu yang terletak di Flat Sri Johor antara enam bulan hingga tiga tahun.
"Kita benarkan sehingga enam bulan bagi mangsa yang memiliki rumah sendiri sementara penyewa pula sehingga tiga tahun.
"DBKL juga akan mengambil tanggungjawab membaiki kerosakan di luar rumah manakala bahagian dalam rumah pula di atas tanggungjawab pembeli sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!