Letak jawatan: Pandangan mereka bukan pendirian rasmi Muda Selangor
SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia Muda (Muda) Selangor masih kukuh bersama perjuangan parti itu dan menyokong penuh kepimpinan pemangku Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz.
Muda Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, laporan media mengaitkan individu-individu meletak jawatan dalam organisasi Muda Selangor dan pandangan mereka bukan pendirian rasmi Muda Selangor.
Muda Selangor menegaskan, secara keseluruhan, pihaknya masih kukuh dan utuh bersama perjuangan parti berkenaan.
"Muda Selangor juga akan terus menyokong dasar parti di bawah Amira Aisya selaku pemangku Presiden Muda.
"Gerak kerja memperkukuh parti giat dijalankan pada masa ini dan tindakan individu berkenaan adalah keputusan peribadi mereka.
"Muda Selangor akan terus konsisten memperjuangkan agenda perjuangan rakyat serta politik yang beteraskan khidmat, nilai dan dasar," menurut kenyataan itu pada Ahad.
Terdahulu, beberapa ahli pimpinan tertinggi Muda didakwa meletakkan jawatan dalam tempoh seminggu.
Menurut pemilik akaun @rombakMUDA, hampir 10 ahli dalam masa sebulan meletakkan jawatan atas sebab peribadi dan juga didakwa tidak berpuas hati dengan hala tuju parti dalam tempoh beberapa tahun ini.
Antara yang meletakkan jawatan termasuk, Bendahari Muda Parlimen Kapar, Vipraharan Balan; Ketua Parlimen Pandan, Abang Aliefiesyahreen; Timbalan Pengerusi Muda Kedah, Amer Abdullah dan Timbalan Ketua Muda Parlimen Kapar, Thinesh Raj Parantaman.
Sebelum ini juga, Ketua Penerangan Muda, Lokman Long turut mengosongkan jawatan tersebut selepas gagal mendapatkan deposit dalam pilihan raya negeri (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar.
Selepas itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai Presiden Muda bagi membolehkan beliau membersihkan nama daripada sabitan hukuman oleh mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!