Persenda Islam secara terbuka, umat Islam hilang jati diri - Mufti

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGE TOWN - Umat Islam pada zaman ini dilihat sudah kehilangan jati diri apabila mempersendakan agama ALLAH SWT secara terang-terangan di media sosial tanpa rasa bersalah malah ia dianggap hiburan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, orang Islam sepatutnya membela agama suci ini dan bukannya membuat gurauan yang boleh menyebabkan Islam dicaci oleh musuhnya.

Menurutnya, segelintir umat Islam ketika ini juga disifatkan sebagai biadab kerana tidak sensitif terhadap agama Islam.

"Jika yang menyebarkan dan yang melariskan perbuatan biadab ini terdiri daripada mereka (sebahagian bukan Islam) yang memusuhi agama ini, ia tidak pelik atau menghairankan kerana ia memang tabiat mereka yang termaklum seperti yang dinyatakan oleh ALLAH SWT di dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 120.

"Tetapi yang menghairankan, mereka yang mempersendakan agama Islam itu terdiri daripada kalangan yang mengaku diri mereka Muslim. Sepatutnya mereka membela agama ini serta mempertahankan kesuciannya daripada serangan, dipersendakan, tohmahan dan cacian musuh.

"Tidak tahu lah kenapa kebiadaban ini semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini? Jelas sebahagian umat Islam zaman kini sudah kehilangan jati diri sehingga keghairahan terhadap agama dilihat kian terhakis," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambah Wan Salim, Islam amat menggalakkan penganutnya sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan sama ada dalam bidang agama (Islam) atau lain-lain.

"Kejahilan sering mendedahkan seseorang kepada bahaya. Hanya orang jahil yang berani mempersenda kalam ALLAH SWT atau hadis Nabi serta memperlekeh hukum agama yang ditetapkan ALLAH.

Artikel Berkaitan:

"Perbuatan tidak beretika ini boleh merosakkan akidah seseorang Muslim jika dilakukan dengan sengaja dan dalam keadaan sedar. Hukum agama bukan bahan mainan.

"Ia diturunkan oleh ALLAH yang mencipta kita (manusia) dan alam semesta. Hukum ALLAH wajib dihormati sebagai sesuatu yang suci," katanya lagi.

Beliau menambah, seseorang Muslim perlu berasa bimbang terhadap kemungkinan menjadi murtad dengan tidak disengajakan.

"Oleh demikian, saya meminta golongan yang suka mempersendakan hukum ALLAH ini supaya segera bertaubat kerana kita tidak tahu bila malaikat akan mengambil nyawa kita," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video yang berdurasi tiga minit 55 saat yang memaparkan tindakan seorang pempengaruh media sosial, Dd Chronicle melakonkan semula perbuatan minum arak dan berjudi tidak akan dikenakan hukuman.

Situasi berkenaan mendapat kecaman warganet dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadapnya kerana sudah melampaui batas.

Susulan daripada itu, banyak pihak telah membuat laporan polis terhadap perbuatan pempengaruh berkenaan.

Dd Chronicle kemudiannya tampil memohon maaf berkaitan video parodi yang dibuatnya itu.

Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, 43, mengakui kesilapan berlaku kerana terlepas pandang dan tidak berhati-hati terhadap fakta walaupun hanya untuk video parodi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!