Zii Jia tiada dalam senarai aksi final BATC

Senarai pemain yang bakal menggalas cabaran negara dalam aksi final BATC menentang China petang ini. Foto FB BAM
Senarai pemain yang bakal menggalas cabaran negara dalam aksi final BATC menentang China petang ini. Foto FB BAM
A
A
A

SKUAD badminton lelaki negara berdepan cabaran besar menjelang aksi final menentang China dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam pada jam 4 petang ini.

Ia susulan pemain perseorangan utama, Lee Zii Jia tiada dalam senarai skuad bagi mengharungi saingan di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) itu.

Perkhabaran itu dimaklumkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi hantaran di media sosial sebentar tadi yang menyebut Zii Jia tidak dapat diturunkan dalam perlawanan berkenaan.

"Selepas perlawanan semalam (Sabtu) Zii Jia mengalami kesukaran bernafas akibat resdung dan tidak dapat pulih sepenuhnya untuk beraksi," katanya menerusi catatan di Facebook.

Tanpa kelibat Zii Jia menyaksikan pemain beregu, Muhammad Haikal Nazri terpaksa menggalas tugas selaku perseorangan ketiga menentang Wang Zheng Xing.

Pemain muda, Leong Jun Hao pula akan memikul tanggungjawab selaku perseorangan pertama menentang Weng Hong Yan, manakala Eogene Ewe bakal berdepan saingan Lei Lan Xi.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan menggalas cabaran selaku beregu pertama menentang Xie Hao Nan-Zheng Wei Han, manakala Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei berdepan Liu Yi-Ren Xiang Yu.

Pada aksi suku akhir menentang Singapura pada Jumaat, Zii Jia juga tidak dapat diturunkan susulan masalah resdung.

Artikel Berkaitan:

Ketiadaan bekas juara Seluruh England itu menyaksikan Ng Tze Yong diturunkan tetapi terpaksa menarik diri ketika set pertama menentang Jason Teh selepas kecederaan belakang dialaminya sebelum ini kembali menghantuinya.

Zii Jia bagaimanapun kembali memperkuatkan skuad negara dalam saingan separuh akhir menentang Jepun pada Sabtu dan menyumbang satu mata buat Malaysia untuk merangkul kemenangan 3-1.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!