Warga emas, cucu cedera dipukul anak lelaki

Tangkap layar video kejadian yang dikongsi netizen hingga tular di laman sosial sejak Sabtu.
Tangkap layar video kejadian yang dikongsi netizen hingga tular di laman sosial sejak Sabtu.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang wanita warga emas bersama cucu perempuan cedera selepas dipukul anak lelakinya menggunakan penyapu dan topi keledar dalam kejadian di Taman Rimba, Mentakab di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 77 tahun dan cucunya (pengadu) berusia 31 tahun, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, suspek berusia 52 telah ditahan pada Ahad untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian pengadu bersama neneknya serta dua yang lain berada di ruang hadapan rumah.

"Ketika itu mereka sedang membersihkan rumah sebelum dihalau suspek (bapa saudara).

"Suspek bertindak agresif apabila memukul mangsa menggunakan penyapu pada bahagian lengan sebelum mangsa keluar dari rumah menyelamatkan diri.

"Semasa berada di hadapan rumah, suspek sekali lagi memukul kepala dan badan mangsa menggunakan topi keledar," katanya.

Mazlan berkata, melihat kejadian itu, wanita warga emas terbabit cuba melindungi cucunya dengan memukul anak lelakinya dengan penyapu.

Artikel Berkaitan:

"Berang dipukul, suspek bertindak balas dengan merentap penyapu yang dipegang ibunya.

"Suspek bertindak di luar batas apabila memukul bahagian muka ibunya sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal.

"Sebelum itu, suspek sempat memukul anak saudaranya sekali lagi menggunakan penyapu," katanya.

Tambah beliau, ekoran kejadian itu, pengadu telah mendapatkan rawatan di hospital dan tampil membuat laporan polis.

"Siasatan turut mendapati suspek tinggal di rumah ibunya bersendirian.

"Ibunya difahamkan tinggal bersama-sama anaknya yang lain di kawasan sama manakala pengadu bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kuala Lumpur pulang ke Mentakab sejak awal Februari lalu untuk bercuti sempena Tahun Baharu Cina," katanya.

Mazlan berkata, siasatan masih dijalankan termasuk mengesan barang kes manakala suspek juga akan menjalani saringan air kencing bagi mengenal pasti sama ada positif dadah atau sebaliknya.

Kejadian itu turut tular selepas video insiden tersebut dirakam dan dikongsi netizen di media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!