Pakai cincin nama ALLAH, Rasulullah dalam tandas, apa hukumnya?
NAMA ALLAH begitu agung kerana DIALAH pencipta segala makhluk dan apa sahaja yang ada di langit dan bumi.
Justeru, segala yang bersangkutan dengan nama ALLAH SWT perlu dipelihara dengan sebaiknya.
Ia termasuklah memakai pakaian atau cincin yang terdapat nama Sang Pencipta.
Dari segi hukum, diharuskan untuk kita memakai cincin yang ada kalimah ALLAH atau Rasulullah SAW selagi ia dipelihara daripada perkara-perkara yang boleh dianggap menghina dan mencemarkan kemuliaan nama-nama tersebut.
Ia sepertimana hadis riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik RA. Beliau berkata: "Adalah ukiran pada cincin Nabi Muhammad SAW terdapat tiga baris. Baris yang pertama tertulis kalimah Muhammad. Baris yang kedua tertulis kalimah rasul dan baris yang ketiga tertulis kalimah ALLAH."(Riwayat al-Tirmizi)
Namun, apabila masuk ke tandas, adakah cincin tadi perlu ditanggalkan sebelum memasuki tempat 'perkampungan' syaitan itu?
Dalam hal itu, terdapat petunjuk daripada Nabi Muhammad SAW menerusi satu hadis.
Diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik RA. Beliau berkata: "Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW apabila masuk ke dalam tandas, baginda akan menanggalkan cincinnya." (Riwayat Ibn Majah)
Berdasarkan hadis itu, para fuqaha menukilkan beberapa pandangan.
Menurut Imam Al-Nawawi, hadis diriwayatkan daripada Anas itu merupakan sebuah hadis yang masyhur.
"Adapun, hukum berkenaan permasalahan ini maka para ashab kami (Syafieyyah) telah sepakat akan sunatnya menanggalkan apa-apa yang terdapat nama ALLAH padanya ketika seseorang itu mahu masuk ke dalam bilik air dan ia tidak wajib ditanggalkan.
"Di antara yang menyatakan secara sarih (jelas) bahawa hukumnya mustahab adalah musannif (Imam al-Shirazi), serta gurunya al-Qadhi Abu Al-Thayyib. Kata Al-Mutawalli dan Al-Rafi’e dan selain keduanya: Tidak ada beza di antara ia tertulis di atas dirham, dinar, atau cincin dan selainnya." (Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (2/73)
Justeru, makruh hukumnya apabila kita memakai cincin yang terdapat kalimah ALLAH atau Rasulullah dalam tandas.
Sebaliknya, kita disunatkan untuk menanggalkan cincin tersebut terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam bilik air.
Jangan ambil mudah perkara itu dan usah sesekali cemari kemuliaan Tuhan yang telah menjadikan kita.
(Sumber: Portal kemusykilan agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!