5,000 pengunjung meriahkan Karnival Bandaraya Diraja Klang
KLANG - Lebih 5,000 warga Klang hadir memeriahkan perasmian Karnival Bandaraya Diraja Klang bertempat di Kompleks Sukan Pandamaran Klang pada Sabtu.
Datuk Bandar Klang, Datin Noraini Roslan berkata, karnival berlangsung selama tiga hari hingga Ahad itu diadakan sempena pengisytiharan Klang sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 5 Februari lalu.
Menurutnya, penganjurannya bagi berkongsi perkhabaran dan meraikan bersama penduduk daerah Klang.
"Karnival ini menjadi wadah jalinan kerjasama antara semua peringkat sekali gus dapat merealisasikan moto MBDK iaitu Perpaduan Asas Kemakmuran.
"Diharap karnival diadakan ini dapat mengekalkan nilai perpaduan dan kesejahteraan dalam komuniti Klang serta kenangan indah untuk dikongsi bersama," katanya pada majlis perasmian karnival berkenaan pada Ahad.
Majlis perasmian disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Leong Tuck Chee dan ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.
Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik disediakan antaranya #KlangBerselawat diikuti pelbagai aktiviti dan pertandingan yang dilangsungkan selama tiga hari.
Antara artis yang memeriahkan pentas utama termasuk Black, Hazama, Nabil Ahmad, Shiha Zikir, Kaka Azraff dan Ella selain hadirin turut disajikan dengan pertunjukan bunga api.
Noraini berkata, selaras Klang berstatus bandar raya, MBDK dalam perancangan menyusun pembangunan semula bandar-bandar di kawasan pentadbirannya.
"Rejuvanasi bandar tersebut membabitkan kawasan Klang, Pelabuhan Klang serta pusat pertumbuhan Meru dan Kapar serta pembangunan baharu yang terancang.
"Dengan pelan dan perancangan yang dirangka selain kerjasama erat semua pihak, kita mampu merealisasikan Klang sebagai Bandar Raya Sejahtera, Berdaya Huni, Mampan, Berdaya Saing dan Lestari," katanya.
Sementara itu Suee Lim berkata, Klang pernah menjadi pusat pentadbiran Selangor pada 1875 hingga 1903.
"Klang telah menjalani proses perbandaran dan pembangunan yang sangat pesat.
"Kita boleh lihat perubahan yang baik dari segi landskap pembangunan Klang melalui beberapa era pembangunan bermula era tradisional, moden, globalisasi dan ke digitalisasi, " katanya.
Justeru katanya, sering dengan pembangunan kini, kerajaan negeri telah mewujudkan koridor Lembah Klang Raya meliputi Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.
"Ia bertujuan memberi satu lonjakan ekonomi kepada negeri dengan mewujudkan pentadbiran lebih lancar dan responsif.
"Selain itu dapat menyediakan simulasi digital seperti pengurusan trafik, bencana, proses pembangunan serta reka bentuk pembangunan lokasi berteraskan pengurusan yang mampan," katanya.
Ujarnya, kerajaan negeri berharap pembentukan Lembah Klang Raya ini akan menjadi lokaliti pentadbiran pertama mesra warga emas, orang kelainan upaya, mesra kanak-kanak seterusnya merealisasikan hasrat bandar neutral karbon pertama di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!