Wanita Indonesia ditahan dalam feri penumpang
NURUL HIDAYAH HAMID
ALOR SETAR - Seorang wanita warga Indonesia ditahan dalam satu pemeriksaan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 2.3 batu nautika muara Kuala Kedah, di sini, pada Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, wanita itu ditahan kira-kira jam 2.15 petang oleh bot ronda milik Maritim Malaysia bot PERKASA 1224 yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah.
Beliau memaklumkan, anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan itu selepas menerima maklumat risikan dan menahan feri berkenaan yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah.
"Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati dokumen perjalanan wanita berkenaan telah tamat tempoh pada tahun 2020.
"Susulan itu, wanita berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam kes berasingan, Noor Azreyanti berkata, Zon Maritim Kuala Kedah turut menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana menggunakan alat komunikasi tidak berdaftar di kedudukan sekitar 4.8 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada 14 Februari lepas.
Beliau menambah, bot nelayan didapati memiliki satu alat komunikasi jenis radio Very High Frequency (VHF) jenis SHIP STATION SS-24 yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Kita menahan bot dibawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana menggunakan peralatan komunikasi yang tidak dibenarkan dan tidak memiliki sebarang surat kebenaran penggunaannya.
"Bot berkenaan juga telah melakukan kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 dengan melanggar syarat sah lesen berkenaan pemilikan alat perhubungan komunikasi tanpa kelulusan bertulis daripada agensi kerajaan,"katanya.
Beliau memaklumkan, kesemua yang ditahan bersama bot berkenaan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!