Skuad wanita India raih gelaran sulung BATC
SKUAD wanita India melakar sejarah apabila meraih gelaran pertama Kejohanan Badminton Pasukan Asia (BATC) 2024 sekali gus mampu menjadi pencabar kepada kuasa besar badminton pada masa depan.
Kejayaan tersebut diraih selepas India menumpaskan Thailand 3-2 dalam perlawanan akhir di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada Ahad.
Malah lebih manis kejayaan itu disumbang oleh pemain remaja berusia 17 tahun yang menyumbang mata kemenangan selepas mengalahkan Pornpicha Choeikeewong 21-14, 21-9.
Ketika kedudukan terikat 2-2, perseorangan ketiga, Anmol Kharb muncul wira untuk mengesahkan trofi menjadi milik India.
Anmol mengakui teruja apabila berjaya menjadi watak penting dalam catatan sejarah yang dipahat India pada kejohanan tersebut.
"Saya sangat gembira kerana dapat bantu India meraih kejuaraan dalam penampilan pertama pada BATC.
"Ia adalah satu sejarah untuk kami pasukan wanita India dan ia tercipta di sini," katanya yang muncul juara kebangsaan termuda di India tahun lepas.
Dalam aksi itu, India meraih mata pertama menerusi P V Sindhu selepas mengalahkan Supanida Katethong 21-12, 21-12.
India kemudian mengandakan mata melalui kemenangan pasangan, Treesa Jolly-Gayatri Pullela Gopichand yang mengenepikan cabaran Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-16, 18-21, 21-16.
Thailand bagaimanapun bangkit menerusi perseorangan kedua, Busanan Ongbamrungphan yang menundukkan Ashmita Chaliha 21-11, 14-21 sebelum gandingan adik beradik, Benyapa-Nuntakarn Aimsaard mengalahkan Priya Konjengbam-Shruti Mishra 21-11, 21-9 untuk mengheret perlawanan ke permainan penentuan.
Skuad wanita India menampilkan aksi luar biasa dalam edisi kali ini apabila membenam pasukan gergasi China di peringkat kumpulan sebelum menumpaskan Hong Kong dan Jepun dalam saingan suku akhir dan separuh akhir dalam perjalanan bergelar juara.
Pasukan lelaki India pada 2022 mencipta sejarah apabila muncul juara Piala Thomas buat kali pertama di Bangkok, Thailand.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!