Letak jawatan proses biasa dalam parti - Muda Negeri Sembilan
SEREMBAN - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Negeri Sembilan menyifatkan keputusan beberapa ahli yang meletak jawatan sebagai perkara biasa yang dilalui mana-mana parti politik.
Jawatankuasa Eksekutif Muda Negeri Sembilan dalam satu kenyataan memaklumkan, ia adalah keputusan peribadi mereka dan ini adalah ruang demokrasi yang diberikan dalam parti
"Setiap parti politik memerlukan transisi dan perubahan kepimpinan agar rejuvenasi dan pembaharuan dapat dilakukan serta penyesuaian kepada perubahan landskap politik semasa.
"Muda Negeri Sembilan sentiasa melakukan pemakluman secara dalaman kepada ahli dari masa ke masa berkaitan dasar dan gerak kerja yang dilakukan untuk memperkukuhkan struktur dan gerak kerja parti," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, mereka akan kekal teguh mempertahankan perjuangan parti dan optimis dengan kepimpinan pemangku Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz.
Tambahnya, mereka juga akan terus konsisten memperjuangkan agenda perjuangan rakyat serta politik yang berteraskan khidmat, nilai dan dasar.
Sebelum ini, pemilik akaun @rombakMUDA mendakwa beberapa ahli pimpinan tertinggi Muda meletakkan jawatan dalam masa seminggu.
Menurut akaun itu, hampir 10 ahli dalam masa sebulan meletakkan jawatan atas sebab peribadi dan juga didakwa tidak berpuas hati dengan hala tuju parti dalam tempoh beberapa tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!