Segera pinda Akta 355, bahas di Parlimen - PUM
SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (pindaan 1984) atau Akta 355 yang akan dibentangkan dan dibahaskan dalam Parlimen.
Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz berkata, ia susulan keputusan badan kehakiman berkaitan Doktrin Struktur Asas yang telah membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk menyempitkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Menurutnya, sejak beberapa dekad lalu, terdapat beberapa pihak yang sedang menggunakan pelbagai strategi bagi melemahkan perundangan Islam di negara ini.
“Pindaan (membuang) ‘preclusion clause’ dalam Butiran 1, Senarai Negeri Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan yang dimaksudkan adalah ‘kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan’.
“Terdapat cadangan supaya Mahkamah Syariah juga perlu diperkukuhkan melalui pindaan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.
“Penubuhan Mahkamah Syariah telah disebut jelas dalam peruntukan ini sebagai punca kuasa yang diiktiraf dalam sistem perundangan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, sesi libat urus mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, sesi libat urus tersebut yang dikendalikan oleh Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah pun berada di peringkat akhir.
Mengulas lanjut, Wan Mohamad berkata, pemerkasaan kedudukan Mahkamah Syariah perlu dilakukan secara kolektif merentasi politik kepartian atau kenegerian.
Ujarnya, semua pihak perlu bersatu hati dalam memartabatkan undang-undang Islam dan mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua agama Islam.
“Usaha ini perlu dilakukan bukan sahaja dalam konteks negeri tetapi juga secara menyeluruh sehingga di peringkat Persekutuan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!