Kereta Mercedes-Benz terbakar, dua sempat selamatkan diri
GURUN - Dua individu berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Mercedes di Lebuhraya Utara Selatan, di sini pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata, Pusat Gerakan Operasi Kedah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.18 petang dan mengarahkan jentera serta anggotanya ke lokasi kejadian.
Menurutnya, maklumat awal yang diterima melibatkan kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Mercedes-Benz CFA 200 yang terbakar hampir 90 peratus di bahu jalan lebuh raya.
“Operasi pemadaman terkawal pada jam 3.50 petang.
"Tindakan pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula dan pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 4.08 petang,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Difahamkan terdapat seorang lelaki dan seorang perempuan di dalam kereta itu yang dalam perjalanan menghala ke selatan tanah air.
Menyedari ada asap yang keluar dari kereta yang dinaiki, mereka bertindak berhenti di bahu Lebuhraya Utara Selatan sebelum keluar untuk menyelamatkan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!