Kementerian Kesihatan Indonesia dedah kematian 57 pegawai pilihan raya
JAKARTA - Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan kematian 57 pegawai pilihan raya setakat Sabtu kerana masalah kesihatan ataupun kemalangan, dengan jumlah kematian tertinggi di Jawa Barat dengan 13 pegawai diikuti Jawa Timur (12), Jawa Tengah (11) dan Jakarta (enam).
Pegawai-pegawai ini memegang pelbagai peranan termasuk 29 ahli Jawatankuasa Pengawas Pilihan Raya, 10 sukarelawan perlindungan masyarakat, sembilan saksi, enam pegawai, dua ahli jawatankuasa pusat mengundi dan seorang anggota Badan Pengawas Pilihan Raya.
Menurut jurucakap kementerian, Siti Nadia Tarmizi, penyebab utama kematian adalah penyakit jantung yang melibatkan 13 kes, kemalangan (lapan kes) manakala sindrom gangguan pernafasan akut dan hipertensi, masing-masing lima kes.
"Kira-kira 15 peratus pegawai pilihan raya berusia lebih 55 tahun kerana ketersediaan sukarelawan yang terhad. Ada yang mempunyai komorbiditi yang tidak terkawal," katanya, lapor Agensi Berita Antara.
Dalam kalangan pegawai yang meninggal dunia, terdapat empat berumur 17-20 tahun, tujuh berumur 21-30 tahun, lapan berumur 31-40 tahun, 18 berumur 41-50 tahun, 15 berumur 51-60 tahun dan lima berumur lebih dari 60 tahun.
Dalam pilihan raya umum 2024, lebih 800,000 pusat mengundi dibuka di seluruh negara dengan 5.74 juta pegawai ditugaskan, sama ada di dalam negeri atau di luar negara, berbanding dengan 5.66 juta pegawai pada tahun 2019.
Dalam pilihan raya presiden yang diadakan pada 14 Feb, data dari laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya Umum, pemilu2024.kpu.go.id, pada 6.30 petang Sabtu menunjukkan pasangan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka mendahului dengan 57.95 peratus undi.
Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD, masing-masing dengan 24.48 peratus dan 17.57 peratus undi, merangkumi 66.61 peratus daripada undiyang telah dikira. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!