Tangkapan meningkat, LKIM jamin bekalan ikan mencukupi
PONTIAN – [DIKEMAS KINI] Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberikan jaminan bekalan ikan segar untuk pasaran tempatan mencukupi berdasarkan kepada peningkatan tangkapan ikan setiap tahun.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, berdasarkan kepada rekod tangkapan pada tahun 2021, sebanyak 1.75 juta tan dan ia meningkat kepada 1.89 juta tan pada tahun berikutnya.
Katanya, selain bekalan ikan tempatan, ada juga pengusaha yang mendapatkan bekalan dari luar negara bagi menampung keperluan ketika tengkujuh dan musim panas ketika ini.
“Peratus tahap sara diri (SSL) bagi beberapa makanan bahan makanan asas termasuk ikan ketika pada tahap 90 peratus dengan keupayaan memenuhi permintaan rakyat.
"LKIM juga mempunyai pelan jangka panjang dengan mempunyai stok bekalan ikan selain berkolaborasi dengan pihak swasta yang berkaitan dengan industri ikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian bantuan di bawah Peningkatan Pendapatan bagi nelayan di Pejabat LKIM Pontian di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah LKIM Negeri Johor, Intan Suhaila Othman dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pontian, Jumairi Salimin.
Pada majlis tersebut, seramai 50 orang menerima insentif bantuan peralatan tangkapan ikan seperti enjin bot 40 kuasa kuda, 49 unit kotak ikan berinsulasi dan 196 unit jaring melibatkan kos sebanyak RM61,833.
Tambah Muhammad Faiz, selain bekalan yang disumbangkan oleh nelayan, beliau juga menggalakkan nelayan terlibat dengan aktiviti penternakan ikan dan udang dengan kaedah kolam dan sebagainya.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan orang tengah tidak mengambil kesempatan dengan menekan para peniaga menaikkan harga ikan sehingga memberikan kesan kepada pengguna.
Sebelum itu dalam ucapannya, Muhammad Faiz memberitahu sebanyak 20 buah rumah nelayan di Johor akan dibaik pulih serta tiga buah akan dibina melalui peruntukkan sebanyak RM10 juta yang diluluskan oleh kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!