Buruh Bangladesh ditemukan lemas ditarik ombak

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang buruh warga Bangladesh ditemukan lemas selepas dipercayai ditarik ombak semasa mandi di pantai Kampung Baru Gebeng di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Md Rashidul, 30, ditemukan terdampar di pantai pada 4.51 petang kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.

"Mangsa bersama dua rakan dikatakan mandi sekitar 100 meter dari pantai itu pada 12 tengah hari sebelum mereka ditarik ombak. Bagaimanapun rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa dikatakan tenggelam dan hilang.

"Rakan mangsa bergegas pulang ke kilang tempat mereka bekerja untuk memberitahu pengurus mereka yang kemudiannya memaklumkan polis pada 3.15 petang," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Pada kes berasingan, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pahang Zulfadli Zakaria berkata, seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas didakwa hilang di Sungai Kuala Sat, Jerantut dekat sini.

Mangsa Mustaqim Rizman, 12, dipercayai mandi bersama rakannya di sungai itu sekitar 4 petang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan melibatkan bomba dan polis serta orang kampung sebelum dihentikan lewat petang tadi ekoran cuaca yang semakin gelap dan akan bersambung esok. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!