Kanak-kanak 12 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Sat
JERANTUT - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Sat di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Azman Mat Khamis berkata, kejadian menimpa mangsa, Mustaqim Rizman dari Kampung Kuala Sat dilaporkan kepada pihak polis oleh penduduk tempatan kira-kira jam 5.56 petang.
Menurutnya, susulan maklumat diterima, pencarian segera dijalankan pihak polis bersama bomba, persatuan pengendali bot dan penduduk kampung.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagaimanapun terpaksa dihentikan ekoran keadaan cuaca gelap dan akan disambung pada Isnin," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Tahan ke lokasi untuk operasi SAR pada Ahad.
Menurutnya, pencarian dijalankan menggunakan bot milik penduduk.
"Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Kuantan dan Pekan telah dimaklumkan bagi membantu operasi SAR mangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!