KEB perlu jujur kaji kegagalan bumiputera kuasai ekonomi
JOHOR BAHRU - Kongres Ekonomi Bumiputra (KEB) 2024 yang akan diadakan pada hujung bulan ini perlu mengkaji dan mencari jalan untuk meningkatkan ekonomi bumiputera yang masih jauh ketinggalan dengan bukan bumiputera.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, persoalan bumiputera terus ketinggalan dalam bidang ekonomi walaupun pelbagai dasar sebelum ini digubal untuk membantu mereka perlu dibangkitkan secara jujur menerusi kongres itu pada 29 Februari hingga 2 Mac ini.
"Kita ingin tahu juga mengapa ekonomi bukan bumiputera boleh maju sedangkan kita tidak dengar wujudnya kongres ekonomi bukan bumiputera. Kita pun tidak nampak adanya agenda ekonomi bukan bumiputera dalam belanjawan negara.
"Malah tidak ada dasar 'affirmative action' seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk rakyat bukan bumiputera. Malahan usahawan bukan bumiputera sering terpaksa bersaing dengan syarikat GLC (syarikat berkaitan kerajaan)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Hassan berkata, hal-hal seperti itu perlu dikaji Kongres Ekonomi Bumiputera pada kali ini untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan wakil-wakil kaum bukan bumiputera yang akan hadir pada kongres itu nanti.
"Pertama, Kongres Ekonomi Bumiputera perlu meneliti dengan jujur satu isu yang amat sensitif tetapi perlu dibincangkan secara ilmiah dan fakta oleh bijak pandai Melayu dalam kongres itu nanti supaya dapat menjawab satu persoalan iaitu adakah dasar 'affirmative action' yang dipanggil kedudukan istimewa orang Melayu dan anak pribumi Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan benar-benar telah menolong ekonomi bumiputera.
"Atau sebaliknya telah dirampas dan dimanipulasi segelintir kelas berkuasa elit bumiputera di Semenanjung dan di Sabah serta di Sarawak untuk kayakan diri mereka sendiri, keluarga mereka, sahabat handai dan kapitalis-kapitalis kroni mereka sendiri," katanya.
Kedua katanya, adakah sudah sampai masanya kongres tersebut yang bersifat inklusif menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membincang dan merumuskam bahawa soal pembangunan ekonomi rakyat tidak wajar diselesaikan dengan dasar berasaskan kaum atau pembahagian bumiputera atau bukan bumiputera tetapi berasaskan pembahagian kelas kehidupan serta keperluan rakyat.
Beliau berkata, segelintir kelas atasan yang disebut golongan T10 misalnya terdiri daripada semua kaum dan sebahagian mereka merupakan golongan terlampau kaya daripada golongan jutawan.
Sementara golongan bawahan B60 katanya, adalah kelas bawahan yang terdiri daripada semua kaum.
"Jika dikaji tentang golongan miskin tegar, maka kita hadapi terdapat di dalamnya bukan sahaja rakyat miskin bumiputera tetapi juga ramai rakyat miskin India dan Orang Asli," ujar beliau.
Justeru kata Hassan, kongres tersebut yang akan berlangsung itu harus jujur dan bersungguh-sungguh bersikap inklusif dengan beri tumpuan terhadap kelas B60 iaitu majoriti rakyat yang memerlukan sokongan dan bantuan ekonomi meliputi bumiputera dan bukan bumiputera.
Jelasnya, golongan rakyat rentas kaum dan agama itu perlukan pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi.
"Mereka perlukan rumah untuk hidup berkeluarga. Mereka perlukan kos sara hidup yang tidak menindas. Mereka perlukan perkhidmatan kesihatan yang baik dan sistem pendidikan berkualiti untuk anak-anak mereka.
"Di hari tua mereka, maka mereka perlukan jaringan keselamatan kewangan untuk kehidupan bermaruah di usia emas mereka.
"Jadi Kongres Ekonomi Bumiputera yang berjaya nanti menghasilkan dasar-dasar keadilan ekonomi untuk semua rakyat tanpa mengira bumiputera atau bukan bumiputera, tentu sekali pada akhirnya akan menghasilkan keadilan sosial untuk semua," katanya.
Beliau berpandangan, keadilan ekonomi dan sosial merentas kaum akan mewujudkan kepercayaan rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan dan falsafah Madaninya berada di landasan yang betul mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu.
"Kita berharap Kongres Ekonomi Bumiputera ini nanti menjadi Kongres Ekonomi Bumiputera yang terakhir. Selepas itu kita masih boleh mengadakan Kongres Ekonomi seterusnya dengan jenama baru yang dipanggil Kongres Ekonomi Warga Malaysia. Adakah impian ini boleh dicapai," soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!