'Orang lain makan nangka, orang lain kena getah'

JPV arahkan sebuah ladang ternakan babi di perkampungan Sungai Lembu di Bukit Mertajam ditutup selepas ia didakwa menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah. Foto JAS Kedah
JPV arahkan sebuah ladang ternakan babi di perkampungan Sungai Lembu di Bukit Mertajam ditutup selepas ia didakwa menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah. Foto JAS Kedah
A
A
A

KES pencemaran sungai sebelum ini kerap kali dilaporkan, namun dalam kes terbaharu di Kedah agak berbeza kerana kesannya merentas sempadan negeri.

Sungai Kulim dan Sungai Air Merah dicemari sisa ternakan babi yang dipercayai berpunca daripada ladang perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang.

Perbuatan tersebut jelas mencerminkan penternak terbabit sangat tidak bertanggungjawab dan hanya ingin meraih keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan kepada penduduk setempat serta alam sekitar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab pada Ahad dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pihaknya berjaya mengesan aliran air hitam dari Sungai Air Merah mengalir masuk ke Sungai Kulim.

Ujarnya, terdapat beberapa kolam yang melepaskan efluen ke Sungai Air Merah yang kemudiannya memasuki Sungai Kulim.

Situasi itu dilihat tidak ubah seperti peribahasa 'orang lain makan nangka, orang lain kena getah' kerana yang terkena tempias daripada penternakan babi secara haram itu adalah penduduk di Kedah.

Disebabkan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPV) mengarahkan ladang ternakan babi terbabit ditutup.

Pengerusi Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol pula berkata, arahan dibuat selepas pihaknya mendapati ladang berkenaan gagal dalam memperoleh lesen secara sah sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Jelas Fahmi, pihak JPV juga akan mengeluarkan kompaun terhadap pihak ladang berkenaan pada Isnin dan Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) juga akan turun membuat pemantauan di lokasi yang dilaporkan.

Bagaimanapun, adakah tindakan kompaun akan menyelesaikan isu penternakan babi haram dan pencemaran sungai yang cukup meloyakan itu?

Mungkin pihak berkuasa boleh terus bertindak menutup secara kekal ladang demikian bagi memastikan kes sebegitu tidak lagi berulang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!