ASP antara 26 polis Pahang digantung tugas

Abd Jalil bersama pengamal media selepas Sidang Media Khas Pencapaian 2019 dan Perancangan 2020 Kontinjen Pahang di sini semalam.
Abd Jalil bersama pengamal media selepas Sidang Media Khas Pencapaian 2019 dan Perancangan 2020 Kontinjen Pahang di sini semalam.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan antara 26 pegawai dan anggota polis dari Kontinjen Pahang digantung tugas sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, 13 individu melibatkan anggota berpangkat koperal hingga sub inspektor, 11 anggota berpangkat konstabel dan lans koperal manakala seorang dari kumpulan sokongan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, seramai 12 anggota yang ditahan terlibat dalam penyalahgunaan dadah hasil Ops Blue Devil yang dijalankan.

Menurutnya, selebihnya ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk masalah disiplin, salah laku dan jenayah syariah.

"Sebanyak 149 kertas siasatan tatatertib melibatkan pegawai dan anggota polis Pahang dibuka sepanjang tahun lalu dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 19 kes berbanding 130 kertas siasatan yang dibuka pada 2018.

"Fail yang dibuka untuk tindakan juga meningkat sebanyak 21 kes kepada 129 kes tahun lalu berbanding 108 kes tahun sebelumnya dan 26 daripadanya digantung tugas," katanya pada Sidang Media Khas Pencapaian 2019 dan Perancangan 2020 Kontinjen Pahang di sini semalam.

Abd Jalil berkata, bagi mengatasi masalah itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) merancang beberapa program termasuk kursus kaunseling, motivasi dan program keagamaan untuk meningkatkan kesedaran anggota terhadap tugas yang diamanahkan.

Abd Jalil berkata, beliau tidak akan berkompromi terhadap anggota bermasalah sebaliknya tindakan akan diambil sekiranya mereka terbukti bersalah.

Artikel Berkaitan:

"Dalam perkara ini kita tidak pilih bulu atau mengambil tindakan terpilih terhadap mana-mana anggota berdasarkan hubungan baiknya dengan ketua dan sebagainya.

"Kita lebih bersikap adil di mana sebarang aduan salah laku anggota akan disiasat sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya.

Beliau berkata, ketua-ketua jabatan dan ketua polis daerah diminta menasihati dan memberi dorongan kepada anggota bawahan masing-masing supaya menjaga disiplin, mengelak daripada terlibat dengan dadah dan sentiasa menjaga nama pasukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!