Perlu tambah doktor pakar kanser
SHAH ALAM - Tempoh menunggu untuk pesakit kanser mendapatkan rawatan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat dikurangkan dengan meningkatkan tenaga kerja profesional.
Ketua Divisyen Perkhidmatan Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Nisha Sanita Mohd Norha berkata, walaupun KKM mempunyai sembilan hospital berkaitan kanser, namun pakar onkologi adalah terhad untuk menampung pesakit yang ramai.
Menurutnya, kebanyakan rawatan oleh pakar itu berada di pusat bandar utama yang mempunyai fasiliti lebih lengkap dan tenaga kerja mahir dalam mengendalikan pesakit tersebut.
“Kebanyakan situasi kes-kes kanser yang dirujuk (case to case basis) adalah dari luar bandar yang akan ambil masa untuk mendapatkan tarikh temu janji atau menunggu pakar melakukan lawatan mengikut hari ditetapkan.
“Kekurangan tenaga kerja mahir ini menyebabkan tempoh menunggu menjadi lama tetapi masa 30 hari merupakan satu perkembangan yang positif jika dibandingkan dengan sebelum ini.
“Ini kerana, sebelum ini tempoh tersebut mengambil masa antara dua hingga tiga bulan disebabkan sistem masih separa manual,” katanya pada Ahad.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pesakit perlu menunggu sekurang-kurangnya paling lewat sebulan untuk mendapatkan rawatan, namun ia bergantung kepada tahap kesihatan dan keseriusan kes.
Mengulas lanjut Nisha Sanita berkata, langkah lain yang boleh dilaksanakan ialah menaik taraf sistem temu janji melalui pendigitalan yang dilengkapi panggilan peringatan automatik.
“Ini dapat membantu melancarkan proses temu janji tanpa perlu menggunakan tenaga kerja yang ramai tetapi dalam masa sama memastikan tiada pesakit tercicir atau gagal mendapatkan temu janji.
“Teknologi rawatan kanser di Malaysia sememangnya setanding dengan negara-negara maju dan kami yakin pihak KKM sentiasa cakna serta melakukan usaha terbaik demi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!