KPDN Kelantan sita 500 liter petrol ditemukan dalam kereta
KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan menyita sebanyak 500 liter petrol yang ditemukan dalam sebuah kereta Proton Wira di Kampung Jubakar Darat, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Ahad.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, ketika serbuan pada jam 7 pagi itu, pasukan operasi mendapati petrol berkenaan diisi di dalam beberapa tong jerikin.
Bagaimanapun menurut beliau, kenderaan yang bernombor pendaftaran tempatan itu ditinggalkan oleh suspek selepas menyedari tindakan mereka dikesan pasukan operasi.
"Pemeriksaan lanjut melalui Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di Sempadan itu mendapati, bahan api berkenaan berada di bahagian penumpang hadapan dan belakang serta di dalam bonet kereta itu," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Beliau memberitahu, petrol itu disyaki dibawa oleh suspek dari Kota Bharu ke pangkalan haram di sekitar daerah Tumpat sebelum diseludup ke negara jiran.
"Dalam operasi itu, kita bekerjasama dengan polis Tumpat untuk membuat beberapa pemeriksaan di beberapa lokasi di sekitar daerah ini," katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Bekalan Kawalan 1961.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!