Shahmalarani sambar emas di Cyprus

Shahmalarani mengungguli acara bawah 50kg Kejohanan Karate 1 Siri A WKF di Cyprus pada Ahad. Foto FB MSN
Shahmalarani mengungguli acara bawah 50kg Kejohanan Karate 1 Siri A WKF di Cyprus pada Ahad. Foto FB MSN
A
A
A

ATLET karate negara C Shahmalarani meraih pingat emas pada Kejohanan Karate 1 Siri A Persekutuan Karate Dunia (WKF) di Larnaca, Cyprus pada Ahad.

Atlet berusia 25 tahun itu merangkul kejuaraan dalam acara wanita bawah 50 kilogram (kg) selepas menewaskan Eva Rodriguez dari Sepanyol 9-5 pada aksi final yang berlangsung di Kition Athletic Center.

Terdahulu, Shahmalarani, juara dua kali Sukan SEA menyingkirkan Barbara Michelle Morales dari Guatemala 3-2 untuk mara ke perlawanan akhir, manakala Eva mengetepikan Hsin-Yu Chan dari Taiwan 1-0.

Berkongsi kejayaannya menerusi laman Instagram, Shahmalarani berkata, ia sebagai penebus kekecewaan selepas terlepas podium di Sukan Asia Hangzhou, apabila terkandas pada pusingan 16, Oktober lepas.

“Tambah satu lagi koleksi pingat siri dunia. Kehilangan kejuaraan Asia (Sukan), kecewa memandangkan kami tahu usaha dan pengorbanan yang dibuat dalam proses mempersiapkan diri dalam setiap kejohanan.

“Harapan untuk detik ini (kemenangan) amat besar dan ia adalah bukti ketabahan penantian selama sembilan bulan selepas Sukan SEA 2023 (di Kemboja, Mei 2023),” katanya menerusi hantaran tersebut.

Sementara itu, juara acara lelaki bawah 84 kg Sukan Asia Hangzhou, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik berkongsi tempat kelima dengan Arslan Hasan dari Turkiye selepas kalah 1-5 kepada Nikola Malovic dari Montenegro dalam pusingan repechage. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!