1.9 juta penghuni IKN menjelang 2045
JAKARTA - Ibu Kota Nusantara (IKN) yang sedang dibangunkan akan memiliki kawasan empat kali ganda lebih besar daripada Jakarta iaitu mencapai 252,660 hektar.
Ketua Otoriti (Pihak Berkuasa) IKN, Bambang Susantono berkata, ibu negara Indonesia ketika ini iaitu Jakarta hanya berkeluasan 66,152 hektar, menjadikan IKN lebih luas daripada Jakarta.
Menurutnya, walaupun IKN lebih luas, tetapi penduduknya dijangka hanya sekitar dua juta orang bagi mengelakkan kepadatan yang boleh mengganggu kualiti hidup penghuninya.
"Kita jangka penduduk di IKN mencapai 1.9 juta penduduk pada tahun 2045, walaupun pada masa ini hanya kira-kira 250,000 penduduk yang tinggal di sana.
"Dalam fasa pertama pembangunan, kami hanya menyiapkan sebahagian kecil daripada keseluruhan projek.
"Dengan populasi awal kira-kira 200,000 hingga 250,000 penduduk, kami memberi tumpuan kepada pembangunan yang mampan hingga tahun 2045,” katanya ketika memaklumkan mengenai kemajuan pembangunan IKN dalam seminar nasional sempena Hari Pers Nasional 2024 di Ancol, di sini.
Seramai 15 wartawan daripada pelbagai agensi berita Malaysia turut menyertai seminar berkenaan, sempena Program Jejak Serumpun di Jakarta bermula 12 hingga 21 Februari ini.
Selain membuat kunjungan hormat di beberapa pertubuhan media, wartawan yang terlibat juga membuat liputan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 dan menyertai Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia 2024, yang akan berlangsung pada 20 Februari ini.
Tambah Bambang, pembangunan IKN yang sedang rancak berjalan dirancang untuk menjadi bandar ‘liveable’ iaitu boleh didiami.
“Jakarta akan tetap menjadi pusat perniagaan dan ekonomi, sementara IKN akan menjadi pusat pemerintahan dan pusat ekonomi yang baharu.
"Apa yang kami bina bukanlah hanya infrastruktur fizikal, tetapi juga ekosistem, dalam masa yang sama menekankan kesejahteraan penduduk.
"Visi kami adalah membangunkan bandar yang ‘liveable’ yang tidak hanya layak didiami tetapi juga dicintai oleh penduduknya," katanya.
Ujar beliau, pemerkasaan masyarakat juga ditekankan untuk menyediakan sumber manusia yang bersedia sebagai sebahagian daripada pembangunan IKN, melalui kemahiran semula, peningkatan kemahiran dan pendedahan teknologi kepada penduduk di IKN.
Jelasnya, pihak berkuasa juga akan memainkan peranan IKN dalam arena global, termasuk pembentukan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta komitmen terhadap Peta Jalan Perubahan Iklim yang telah dilancarkan.
"Kami ingin mencipta ekosistem yang menunjukkan IKN sebagai permulaan pembentukan bandar yang hijau, pintar dan inklusif, menjadikan IKN sebuah bandar yang mampan.
"Dalam usaha membangun bandar yang mesra alam, IKN telah mempelajari model Finland yang terkenal dengan kualiti hidup yang tinggi.
"IKN juga direka sebagai bandar mesra alam dengan pencemaran udara yang rendah dan hubungan jalur lebar internet berkualiti tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!