Permintaan ais kiub meningkat akibat cuaca panas

Ahmad Yusop dan Suzana (kanan) melihat bekalan ais kuib telah disusun dalam lori ais.
Ahmad Yusop dan Suzana (kanan) melihat bekalan ais kuib telah disusun dalam lori ais.
A
A
A

ALOR SETAR - Keadaan cuaca panas yang melanda negara khususnya di negeri Kedah menyebabkan permintaan ais kiub meningkat di sekitar negeri ini.

Pengurus syarikat pembekal ais, Iqloo Ice Sdn Bhd, Ahmad Yusop Abdul Kadir, 35, berkata, tempahan ais kiub meningkat sehingga 25 peratus disebabkan keadaan cuaca ketika ini.

Beliau berkata, permintaan ais kiub di di kilang ais yang beroperasi di Simpang Empat Kuar, Alor Janggus, di sini meningkat meskipun banyak kedai makan tutup ketika musim cuti sekolah.

Ahmad Yusop
Ahmad Yusop

"Permintaan melebihi daripada sebelum ini kerana cuaca panas. Dari segi pengeluaran, memang kita nampak meningkat 25 peratus berbanding dahulu sebabkan keadaan cuaca sekarang," katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Isnin.

Beliau menambah, pihaknya menghantar bekalan ais kiub ke merata tempat khususnya di pelantar-pelantar ikan untuk tujuan penyimpanan ikan.

"Sekarang, ikan pun banyak dengan cuaca sekarang apabila nelayan lebih mudah ke laut, jadi mereka guna stok ais untuk penyimpanan bekalan ikan," katanya.

Ahmad Yusop memaklumkan, pihaknya turut menghantar bekalan ais ke pasar, pasar nelayan, kedai runcit dan kedai makan sehinggalah kenduri yang banyak berlangsung pada waktu sekarang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengurus Chupp Aiss Trading, Suzana Abdul Rahman, 37, berkata, peningkatan permintaan ais kiub amat ketara sejak cuaca panas melanda Kedah kira-kira dua minggu lepas.

Suzana
Suzana

"Daripada (sekitar) 1,000 bag naik kepada hampir 3,000 bag (setiap hari), permintaan (diterima) dari pelantar-pelantar daripada satu trip (lori ais) jadi dua, tiga trip.

"Cuaca panas memberi rezeki tambahan kepada pelbagai pihak termasuk pemandu lori dan pekerja," katanya.

Penyelia Iqloo Ice Sdn Bhd, Suria Abdul Rahman, 36, pula mengakui permintaan ais agak tinggi disebabkan cuaca agak tinggi.

Beliau menambah, lori ais keluar masuk dengan kerap dan situasi di kilang ais agak kelam kabut untuk memenuhi permintaan pelanggan.

"Sambutan itu agak di luar jangkaan sebab permintaan yang agak tinggi daripada berbanding sebelum ini (ketika cuaca tidak panas),"katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak mereka mampu memenuhi permintaan bekalan ais yang meningkat memandangkan beroperasi selama 24 jam.

"Permintaan ais ini agak tinggi sebab keadaan cuaca panas sekarang, kita beroperasi 24 jam," katanya.

Bagi pemandu lori ais Chupp Aiss Trading, Mohd Haikal Firdaus Abdul Halim, 24, memberitahu, dia berdepan dengan situasi tidak disangka-sangka apabila ada orang awam menahan lorinya semata-mata untuk membeli ais.

"Penduduk memaklumkan terpaksa berbuat sedemikian disebabkan tidak tahan cuaca panas, sekali gus memerlukan stok bahan itu," katanya yang selalu menghantar bekalan ais sekitar Alor Setar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!