Lebih 15,000 pili bomba di seluruh negara perlu dibaiki
KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti lebih 15,700 daripada 422,472 pili bomba di seluruh negara mengalami kerosakan dan perlu dibaiki berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan tahun lalu.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, antara jenis kerosakan utama melibatkan pili bomba termasuk diturap, bocor akibat paip pecah, injap patah atau tidak berfungsi dan batu 'H' atau tiang bomba patah.
Menurutnya, jumlah kerosakan pili bomba yang direkodkan di seluruh negara tahun lalu sebanyak 49,138.
"Jumlah itu menunjukkan menunjukkan penurunan 2.76 peratus berbanding 50,532 pada 2022.
"Jenis kerosakan pili bomba yang tertinggi melibatkan kehilangan penutup tiang alur keluar iaitu 8,787 kerosakan yang dilaporkan di seluruh negara," katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM Pahang di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Nor Hisham berkata, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan penyelenggaraan pili bomba tahun lalu dan diagihkan kepada setiap JBPM negeri untuk kos penyelenggaraan pili bomba di negeri masing-masing.
"Berdasarkan data terkumpul, secara purata peratusan prestasi perbelanjaan bagi tahun 2023 mencapai 95.23 peratus atau RM2.3 juta secara keseluruhannya," katanya.
Sementara itu katanya, JBPM memberi penekanan kepada pemeriksaan pili-pili bomba terutama yang berada sekitar radius tujuh kilometer dari balai atau pusat bandar.
"Jika sebelum ini pemeriksaan dilakukan sekurang-kurang setahun sekali namun arahan telah dikeluarkan agar tindakan ditingkatkan kepada tiga kali setahun.
"Kita juga akan bekerjasama bersama pihak berkuasa tempatan dalam memantau projek pembangunan yang jalankan agar tidak menjejaskan pili-pili bomba sedia ada," katanya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebelum ini mengarahkan JBPM melakukan operasi besar-besaran serta-merta bagi memeriksa dan memastikan semua pili bomba di negara ini berfungsi dengan baik untuk digunakan ketika kecemasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!