Permohonan Residensi Wilayah dibuka pada Program Madani Rakyat
KUALA LUMPUR - Jabatan Wilayah Persekutuan akan membuka permohonan bagi projek perumahan mampu milik di bawah inisiatif Residensi Wilayah pada Program Madani Rakyat Zon Tengah yang bermula 23 hingga 25 Februari di Kompleks Sukan Kuala Selangor.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Parang Abai@Thomas berkata, langkah itu bagi memberi peluang lebih ramai penduduk yang berpendapatan rendah memiliki rumah idaman.
"Pada tiga hari program ini kami membawakan tiga daripada enam inisiatif di bawah Program Usaha Jaya Insan (PUJI) antaranya Infra@PUJI yang menawarkan rumah mampu milik di bawah RM300,000.
"Ini juga membuka peluang kepada penduduk di Selangor yang bekerja di Kuala Lumpur untuk memiliki rumah yang berdekatan dengan tempat kerja mereka,” katanya dalam temu bual di radio Nasional FM pada Isnin
Sementara itu Facebook rasmi Malaysia Madani memaklumkan, pelbagai aktiviti menarik ditawarkan sesuai untuk seisi keluarga pada Program Madani Rakyat Zon Tengah antaranya cabaran sepak penalti anak muda Madani, pertandingan mewarna dan menulis khat kaligrafi Islam, saringan kesihatan Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKa B40), senamrobik berirama dan Konsert Showcase Anak Muda Madani x Kita Selangor.
Sekretariat Program Madani Rakyat dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, program bermula 9 pagi hingga 10 malam itu memberi tumpuan kepada aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta kesejahteraan rakyat, selain pelbagai perkhidmatan disediakan agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor khususnya.
Program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan kerajaan Selangor itu merangkumi Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Majlis penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Februari, yang dijangka turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Program Madani Rakyat merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lepas.
Pelbagai produk IKS Perak diketengah semasa Program Madani Rakyat
Dalam pada itu, di IPOH, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Perak Halizah Sipun berkata, pelbagai program serta produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dari Perak bakal diketengah semasa program itu.
Beliau berkata, dua reruai disediakan untuk kerajaan negeri dengan beberapa pengisian program telah diatur antaranya mempromosi agenda pembangunan Perak Sejahtera 2030 dan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 serta jualan produk yang mencerminkan identiti negeri itu.
"Kita juga akan mempromosi sistem myPATIL iaitu sistem lesen premis perniagaan digital bagi menggantikan kaedah lesen konvensional kerana Perak adalah negeri pertama yang mempeloporinya," kata beliau dalam temu bual eksklusif sempena penganjuran program itu di Perak FM hari ini.
Halizah berkata, Tourism Perak akan mengadakan pelbagai program untuk mempromosi TMP 2024 termasuk maklumat mengenai destinasi menarik, sesi beramah mesra dengan Kopita iaitu maskot pelancongan Perak dan kuiz yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pengunjung.
Beliau berkata, antara produk IKS yang mengetengahkan keunikan makanan asli Perak ialah sambal keluaran syarikat Syilis Food Manufacturing Sdn Bhd, Rendang Tok Yeop dan Pekasam Hakak Maneh.
"Kesemua usahawan IKS ini dibawa oleh Sekretariat Usahawan Negeri Perak dan produk mereka dijual kepada pengunjung pada harga istimewa. Selain itu, usahawan labu sayong akan membuat demonstrasi pembuatan labu sayong dan jualan untuk para pengunjung," katanya yang menyeru penduduk Perak agar beramai-ramai ke Program Madani Rakyat yang berlangsung selama tiga hari itu.
Turut diadakan Jualan Agro dan Mega Madani yang menawarkan potongan harga serta tawaran istimewa selain pameran aset kerajaan. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!