Taraf bahasa Melayu di negara ini lebih tinggi daripada bahasa lain - Ahli akademik
KUALA LUMPUR - Taraf dan kedudukan bahasa Melayu mesti diangkat lebih tinggi dan tidak boleh disamaratakan dengan bahasa lain, selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, selaras dengan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan, bahasa itu mesti digunakan sebagai bahasa rasmi negara, manakala bahasa lain dibenarkan untuk digunakan.
"Secara praktisnya, kita memerlukan bahasa lain bukan sahaja bahasa Inggeris, bahasa Arab...malah Mandarin pun, kalau boleh kuasai, (maka) kuasailah... kita tidaklah anti kepada bahasa lain, tapi martabat bahasa Melayu mesti lebih tinggi, tak boleh disamaratakan.
"Itu salah, jika kita samakannya (dengan bahasa lain), apakah fungsinya dalam perlembagaan?” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia: Martabatkan Bahasa Melayu Ke Peringkat Global, terbitan Bernama TV di sini hari ini.
Beliau berkata, masyarakat hari ini, terutama generasi baharu berdepan dengan krisis nilai yang menganggap bahawa status seseorang itu lebih tinggi apabila mereka bertutur dalam bahasa Inggeris, sementara bertutur dalam bahasa Melayu dilihat sebagai tidak maju dan ketinggalan zaman.
"Masalahnya, dalam peringkat rasmi pun kadang-kadang penggunaan bahasa Melayu diperlecehkan sehingga menyebabkan kita rasa marah, sedih, contohnya apabila mesyuarat dalam jabatan kerajaan.. ada yang berasakan diri dia hebat kerana bahasa Inggerisnya bagus, jadi dia akan bercakap dalam bahasa itu.
"...tetapi saya tidaklah menyatakan generasi muda tidak perlu menguasai bahasa Inggeris, itu salah. Bukan begitu, mereka perlu menguasai bahasa Inggeris,” katanya.
Justeru, Mohamad Saleeh yang juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia berkata, golongan pemimpin seperti ahli politik perlu menjadi suri teladan dengan mengaplikasikan penggunaan bahasa Melayu yang betul, indah dan menarik dalam percakapan, terutamanya apabila diwawancara oleh media.
"Jika mereka sendiri bercakap tanpa mengikut struktur bahasa yang betul, gaya bahasa yang indah bagaimana orang akan kagum dengan Bahasa Melayu?” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!