Tiga nelayan ditahan cuba seludup 6,000 liter diesel
LANGKAWI - Sebuah bot pukat tunda kelas C ditahan bersama tiga lelaki selepas dipercayai cuba menyeludup 6,000 liter minyak diesel di kedudukan 0.6 batu nautika utara Pulau Langgun, dekat sini pada malam Ahad.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot nelayan terbabit dalam keadaan mencurigakan ditahan ketika dihampiri kapal peronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Langkawi.
Menurutnya, ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan, terdapat satu ruang asing yang dibina atas bot tersebut dan ditutupi dengan kayu papan lapis.
“Anggota penguat kuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemui dua kotak yang diubah suai menjadi tong minyak tambahan.
“Kita mengesyaki bot nelayan tersebut terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak subsidi,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Isnin.
Romli berkata, minyak tambahan yang dibawa dianggarkan sebanyak 6,000 liter dan bernilai hampir RM13,000.
“Ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 32 hingga 40 tahun itu ditahan bersama bot dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut,” jelasnya.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan dalam buku lesen dan Akta Bekalan 1961, iaitu memiliki barang-barang kawalan dengan melakukan kesalahan.
Romli memaklumkan, bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, mereka boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen, dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Romli mengingatkan pengusaha bot nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukkan.
“Kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara ini,” jelasnya.
Menurutnya lagi, Maritim Kedah/Perlis mengalu-alukan aduan daripada orang ramai untuk melaporkan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kedah/Perlis di talian 04-9662750.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!