[VIDEO] Pencemaran sungai: Tindakan diambil selepas lesen JPV ladang itik diperolehi
BUKIT MERTAJAM - Tindakan akan diambil terhadap pengusaha ladang itik yang disyaki menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah di Kedah setelah pemilik memperolehi lesen dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Pengarah JPV Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, tindakan tidak dapat diambil terhadap pemilik ladang itik terbabit sebelum ini memandangkan ia belum dilesenkan bawah jabatan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, tindakan susulan akan diambil jika pengusahanya tidak menangani masalah pencemaran selepas dikeluarkan lesen.
"Ladang itik tersebut belum lagi dilesenkan di bawah JPV disebabkan enakmen penternakan ataupun perladangan unggas baharu sahaja dikuatkuasakan pada 1 Januari 2024.
"Jadi, tahun ini bermula yang kita akan lesenkan ladang, semua ladang unggas di Pulau Pinang dan tindakan tegas akan diambil selepas itu," katanya ketika turun padang ke lokasi kejadian pada Isnin.
Hadir sama mengetuai siasatan ialah Pengerusi Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol.
Saira Banu menjelaskan, ladang itik terbabit tidak boleh diarah tutup serta-merta kerana mempunyai kira-kira 100,000 ekor itik yang berada dalam proses ternakan aktif.
Katanya, ladang itu dipercayai beroperasi selama 15 tahun dengan lesen bangunan yang sepatutnya dikeluarkan Majlis Bandaraya Seberang Perai.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati, pencemaran berlaku akibat sisa ternakan itik tidak diuruskan dengan kaedah yang betul.
"Sistem kumbahan tidak terurus dengan betul, air cuci sepatutnya ke kolam kumbahan tapi di sini dari kandang terus ke parit dan sungai," katanya.
Pada masa sama, pihaknya akan menasihati pengusaha ladang untuk memperbaiki sistem kumbahan mengikut syarat yang ditetapkan dalam enakmen perladangan unggas.
Dalam perkembangan berlainan, beliau menjelaskan, permohonan lesen ladang babi sebelum ini ditolak pada Disember tahun lalu kerana tidak melaksanakan sistem penternakan tertutup sistem bio-sekuriti yang kurang memuaskan.
Bagaimanapun, katanya kedua-dua perkara itu telah ditambah baik ketika ini, namun sistem kumbahan masih dalam proses baik pulih.
Beliau menegaskan, JPV akan mengambil kira perkara berkenaan ketika meneliti permohonan semula lesen penternakan oleh pengusahanya kelak.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan isu pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah di Kedah disyaki akibat pelepasan sisa ternakan di perkampungan Sungai Lembu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Siasatan telah dilakukan dan mendapati pencemaran itu disyaki berpunca dari ladang itik, bukanlah kandang babi seperti didakwa sebelum ini.
Menurut Fahmi Zainol, satu lawatan tapak telah dilakukan membabitkan beberapa agensi berkaitan dan mendapati terdapat pelepasan sisa yang mengalir ke sungai dari ladang itik, namun dikatakan tidak memberi kesan secara lansung kepada bekalan air terawat membabitkan kedua-dua negeri sama ada Kedah dan Pulau Pinang.
Sebelum itu, media melaporkan mengenai kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah yang mengesan berlakunya kegiatan melepaskan sisa ternakan disyaki dari ladang babi di perkampungan Sungai Lembu, Pulau Pinang yang menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah di Kedah.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemeriksaan lapangan yang dilakukan pegawai penyiasat meliputi kawasan hulu sungai berjaya mengesan aliran air hitam dari Sungai Air Merah mengalir masuk ke Sungai Kulim, membolehkan siasatan lanjut dilakukan ke kawasan terbabit.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!