Makanan di Gaza tak mencukupi - Agensi PBB
ISTANBUL - Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Ahad memberi amaran bahawa peningkatan aktiviti ketenteraan Israel di Rafah boleh menjejaskan penghantaran bantuan ke Gaza sekali gus memburukkan lagi penderitaan penduduk Palestin.
Menerusi kenyataan di X, UNRWA berkata, terdapat kekurangan makanan di Gaza, lapor Agensi Anadolu.
"Di kem (pelarian) Nuseirat di tengah Gaza, UNRWA dan World Central Kitchen menyediakan makanan panas kepada 1,700 penduduk yang kehilangan tempat tinggal di dalam dan sekitar pusat perlindungan ini,” kata agensi itu.
Israel telah mengumumkan hasratnya untuk menyerang Rafah di selatan Gaza yang padat dengan penduduk selepas mengusir orang awam dari utara wilayah terkepung itu ke selatan dengan mendakwa ia sebagai ‘kawasan selamat’.
Serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lepas mengakibatkan hampir 29,000 penduduk Palestin terbunuh selain menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barangan keperluan.
Israel dituduh melakukan genosid oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv antara lain menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan menjamin bahawa bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!