Industri perbankan perlu terus kekal berdaya saing - PM
KUALA LUMPUR - Industri perbankan negara digesa untuk terus kekal berdaya saing bagi menangani keserentakan fenomena tiga C iaitu Complexity (kerumitan), Chaos (kehuru-haraan) and Contradictions (percanggahan) di era pasca normal pada masa sekarang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, memandangkan industri kewangan memainkan peranan penting untuk menyokong ekonomi negara, bank perlu mempunyai kudrat tinggi untuk kekal berdaya tahan dengan fenomena tiga C itu.
"Bank-bank perlu menggalas tanggungjawab untuk bersama kerajaan menjayakan reformasi ekonomi yang diketengahkan dalam Ekonomi Madani.
"Kerangka ini berhasrat untuk membawa transformasi ekonomi dengan menjulang nilai ekonomi dalam rantaian bekalan dunia serta menambah baik kemampanan ekonomi negara,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran Program Memperkasakan Rakyat myimpact SME Hub anjuran Malayan Banking Bhd (Maybank) di sini, hari ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!