'Mansuh pencen wakil rakyat, belum ada keputusan' - Johari

Johari
Johari
A
A
A
KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul belum menerima sebarang dokumen mahu pun keputusan oleh kerajaan berhubung isu pemansuhan pencen wakil rakyat.

Malah jelasnya, mesyuarat Kabinet juga belum membuat sebarang keputusan tentang perkara tersebut.

“Kita tidak dapat arahan, malah untuk mengadakan perbincangan, kalau tidak ada apa-apa datang ke meja kita dalam bentuk usul, kita anggap ia tak berlaku lagi.



“Tidak tahu sebelum mesyuarat Parlimen 26 Februari ini, jadi jika ia tidak ‘datang’ kita anggap tiada apa-apa (keputusan),” katanya ketika menyampaikan ucapan amanah Yang di-Pertuan Rakyat di Parlimen pada Isnin.

Pada 26 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa pelaksanaan skim tidak berpencen bagi kemasukan penjawat awam baharu turut terpakai bagi ahli dan lantikan politik.

Dalam pada itu, Johari juga mengesahkan setakat ini pejabatnya tidak menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, untuk sidang Parlimen akan datang.

Sementara itu menyentuh berhubung pemeriksaan kesihatan wakil rakyat bagi memastikan kesiapsiagaan mereka ‘beraksi’ di Dewan, Johari berkata ia akan diteruskan seperti sebelum-sebelum ini.

“Setiap tahun wajib, alhamdulillah semua orang termasuk Perdana Menteri buat pemeriksaan.

“Untuk tahun ini kita maklumkan bahawa mereka mesti buat, ini sangat penting, kita pastikan mereka perlu berada pada tahap yang bersedia,” katanya lagi.

Pada September tahun lalu, Johari mengarahkan semua Ahli Parlimen menjalani pemeriksaan kesihatan kerana bimbang dengan tahap kesihatan mereka.
Artikel Berkaitan:


Katanya, seramai 11 Ahli Parlimen meninggal dunia sejak 15 tahun lalu, sepanjang beliau menjadi wakil rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!