Kerajaan hasrat laksana pilihan raya belia, lahirkan pemimpin pelapis

Johari menyampaikan amanat pada majlis perjumpaan bersama Ketua-Ketua Pengarang Media dan Agensi berkaitan urusan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Bernama
Johari menyampaikan amanat pada majlis perjumpaan bersama Ketua-Ketua Pengarang Media dan Agensi berkaitan urusan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan berhasrat untuk melaksanakan Pilihan Raya Belia bagi memilih perwakilan ke Parlimen Belia, sebagai usaha melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berkaliber.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, cadangan itu bagi membolehkan Parlimen Belia dijadikan platform untuk mengasah bakat kepimpinan belia, sekali gus melahirkan pemimpin pelapis.

"Selepas AUKU diperkenalkan, debat mengenai demokrasi, sistem dan banyak isu sosial lain, seperti disekat. Kesannya sampai ke sekolah dan universiti, pelajar kita jadi tidak berminat dengan politik dan masalah sosial, dan lebih terdorong dengan pencapaian akademik dan mereka mahu skor A dan ke universiti, dan berharap untuk dapat kerja yang baik.

"Akhirnya mereka terperangkap dalam satu situasi yang dia tak boleh berubah seperti sepatutnya, apatah lagi untuk jadi pemimpin, kurangnya mereka yang semangat bercakap tentang demokrasi, perkara-perkara berkaitan masyarakat.

"Kini kita nak kembalikan kesedaran kepada belia dengan melahirkan satu kumpulan manusia yang bercakap mengenainya... sebab itu Parlimen Belia satu platform untuk mereka and mencorak mereka untuk jadi pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab dengan media sempena perjumpaan bersama ketua pengarang media dan agensi, berkaitan pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen, hari ini.

Johari berkata, cadangan itu masih di peringkat awal dan sekiranya dapat direalisasikan, pemilihan wakil dalam parlimen Belia ini, dicadang agar diadakan dua tahun sekali dan individu yang dipilih pula dalam kalangan pengundi berumur 16 hingga 35 tahun.

Beliau berkata, had umur itu memadai dan bersesuaian, kerana pelajar yang terpilih dapat kembali ke sekolah atau institusi mereka sebagai pemimpin pelajar, manakala individu dewasa boleh kembali kepada masyarakat sebagai pemimpin setempat.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin selepas dia jadi wakil Parlimen Belia, dia mahu jadi Ahli Parlimen sebenar dan masuk parti mana-mana dan berperanan sebagai pemimpin sebenar.

"Kami akan bekerjasama dengan SPR dan melihat bagaimana pilihan raya itu boleh dilakukan, dan memilih yang terbaik dalam kalangan belia...secara peribadi saya katakan kita harus melabur banyak untuk pemimpin masa depan dan cuba membetulkan apa yang berlaku pada masa ini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!