'Suami beria-ria mahu beriadah di pantai'
KUALA TERENGGANU - Balu kepada Allahyarham Zulkarnain Mohamed Zubir yang ditemukan lemas berkata arwah suaminya beria-ia mahu beriadah di pantai ketika sampai di Kuala Terengganu, Jumaat lepas.
Nora Elina Abdul Khalit, 44, berkata beliau tidak menyangka percutian mereka sekeluarga buat pertama kali di Terengganu itu, berakhir dengan tragedi.
Bagaimanapun beliau tetap reda dan menganggap pemergian arwah sebagai ujian ALLAH, yang mahu mengurniakan nikmat syahid kepada suaminya yang berusia 44 tahun itu.
"Arwah ketika sampai dan sebelum datang (ke Terengganu) selalu sebut nak mandi pantai...nak mandi pantai. Itu sahaja yang dia asyik cakap.
"Selain bercuti saya juga sebenarnya datang atas tujuan kerja iaitu memberi taklimat di Balai Raya Tokku (di sini) Sabtu lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah hari ini.
Nora Elina berkata, walaupun sedih, beliau berasa amat lega kerana mayat arwah suaminya ditemukan dalam tempoh singkat, serta dapat dikebumikan dengan sempurna.
Justeru beliau amat berterima kasih kepada semua pihak terutama agensi keselamatan, yang bertungkus-lumus mencari mangsa.
"Saya tak putus-putus berdoa supaya jenazah suami dapat ditemui dan dikebumikan dengan baik. Doakan supaya arwah dikurniakan mati syahid idaman setiap orang Islam,” katanya.
Nora Elina berkata, jenazah akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur malam ini, selepas selesai urusan bedah siasat dan akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara di Selangor. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!