Petinju terbaik dalam, luar negara bertarung di Titiwangsa
SERAMAI 28 petinju terbaik dalam dan luar negara termasuk dua regu kanak-kanak dan satu regu wanita akan bertarung merebut gelaran King of The Ring Kejohanan JWP-DBKL Kuda Merah Muay Thai Challenge 2024 pada Sabtu dan Ahad ini.
Kejohanan anjuran Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan itu berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Presidennya, Rosli Yaacob berkata, kejohanan kali ke-73 ini merupakan edisi naik taraf dari segi penyertaan yang melibatkan petinju kanak-kanak, wanita, remaja dan senior.
“Dalam kejohanan ini juga saya memilih petinju yang memiliki kekuatan seimbang 50-50, tidak ada berat sebelah dan saya sangat berpuas hati dengan barisan petinju yang akan bertarung pada Sabtu dan Ahad ini.
“Pada kejohanan sebelum ini terdapat satu dua regu yang saya kurang berpuas apabila berlaku penggantian pada saat-saat akhir setelah petinju sebenar mengalami kecederaan.
“Jadi penganjuran edisi kali ke-73 ini saya mahu buktikan adalah kejohanan terbaik jika dibandingkan dengan sebelum ini. Paling penting penonton yang datang berpuas hati dan balik dengan senyuman,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Isnin.
Hadir sama Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga Penasihat Media Kelab Muay Thai Kuda Merah.
Dalam pada itu, Rosli berkata, daripada 28 petinju tersebut dua daripadanya adalah warga Thailand manakala satu jaguh Afghanistan antaranya bakal merebut 10 tali pinggang yang dipertandingkan dalam kejohanan itu.
“Kejohanan berkenaan juga adalah seiring usaha Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur mempromosikan kalendar acara Hari Wilayah Persekutuan 2024 ke-50, selain saluran untuk mencari bakat baharu bagi sukan Muay Thai tempatan khususnya,” katanya.
Sebagai rekod, kejuaraan yang menyaksikan akhbar Sinar Harian sebagai media rasmi kejohanan bakal menyaksikan perlawanan tumpuan Sabtu melibatkan pertarungan, Mat Ropi Singa Muda Kuda Merah PDRM berdepan petinju sensasi Thailand, Wan Muhammad Kittyyamat atau lebih dikenali Deankao San dari Red Wolves.
Satu lagi tumpuan juga menyaksikan pertarungan kategori wanita menyaksikan petinju muda Damia Khualah dari Cosmic Johor berdepan cabaran Raja Izzaty yang mengalas cabaran Head Hunter dari Perak.
Pada Ahad pula, perlawanan tumpuan melibatkan pertarungan Mohd Amirul Ariffin (Kuda Merah PDRM) menentang petinju Nawid Ullah Bakshi dari Afgahnistan Sampuri Ampang.
Sementara itu, petinju berpengalaman Muhammad Ali Yaakub (Attitude Muay Gym) pula akan berentap menentang Pet Sangoan dari Yala Thailand.
Sebagai rekod, pemenang terbaik akan dipilih mengalas cabaran dalam Grand Final Kuda Merah yang dijadualkan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 16 hingga 17 November depan.
Kepada mereka yang mahu mengetahui maklumat lanjut mengenai kejohanan boleh menghubungi nombor 012-7864930 (Whatapps) untuk maklumat lanjut.
INFO
Kejohanan JWP-DBKL Kuda Merah Muay Thai Challenge 2024
SABTU (24 FEBRUARI)
Aiman Harith (Akademi Kuda Merah) lwn Zarif Danial (Akademi Jasin) (KMKM)
Hazami (Tommy PDRM Pulapol KL) lwn Syakir (FGTS Muaythai Gym)
Ahmad Hafizi (Jordan Top Team) lwn Zul Fazlie Shahmi Zaizul Shahram (FDM Muaythai)
IKmal Arief Kamarul Azlan (Hybrid Muaythai) lwn Lin Kai Tze (Shark Muaythai)
Damia Khaulah (Cosmic Johor) lwn Raja Izaty (Head Hunter Perak)
Akid Mikdam (Cosmic Johor) lwn Haikal (Hallo Fight Club)
Mohd Rafi Manaf (Kuda Merah PDRM) lwn Wan Muhammad Kittyyamat (Red Wolves)
AHAD (25 FEBRUARI)
Farish Hakimi (Akademi Kuda Merah) lwn Muhammad Izzat Fitri (Muaythai Port Dickson)
Nizam Joeffery (Kuda Merah Selatan) lwn Zahid (Singa Utara)
Tuah Tarmizi (Gorilla Muaythai) lwn Zufry Iskandar (Taring Muaythai)
Umar Usman (Red Wolves) lwn Ariq Penang (Attitude Muay Gym)
Samuel Raj (Selendang Kuning Studio) lwn Phitserithai (Rizq Muaythai)
Pet Sangoan (Yala Thailand) lwn Muhammad Ali Yaakub (Attitude Muay Gym)
Mohd Amirul Ariffin (Kuda Merah PDRM) lwn Nawid Ullah Bakshi (Afgahnistan Sampuri Ampang)
*Semua perlawanan bermula jam 8.30 malam di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!