Kemampuan kewangan kelab penting
KEMAMPUAN pasukan untuk mengekalkan kelancaran pengoperasian merupakan aspek penting perlu diutamakan pengurusan kelab yang mahu bersaing dalam saingan Liga Super 2024/25.
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, kelancaran operasi sesebuah kelab banyak bergantung kepada faktor aliran kewangan yang menjadi teras pengupayaan kekal bersaing dalam kancah tertinggi bola sepak negara berkenaan.
“Ini bukan mengenai keterujaan main di Liga Super, tapi realiti kemampuan pasukan menyediakan bajet dari RM20 juta ke RM15 juta satu musim bagi saingan Liga Super. Jika pemilik kelab yakin kemampuan kewangan silakan masuk gelanggang, sekiranya tidak mampu sebaik elakan bagi tidak menimbulkan masalah kemudian hari.
“Ini juga bukan sahaja mengenai pasukan bajet kecil sekitar RM6 juta yang perlu pastikan setiap awal bulan dapat gaji on time, tetapi juga kebajikan caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan sebagainya.
“Beberapa pasukan saingan musim lalu dilaporkan masih bergelut berusaha menyelesaikan isu tunggakan gaji, bermakna saingan Liga Super bukan saingan mudah dari aspek pengoperasian khasnya isu bajet,” katanya yang tegas berpendirian kelab perlu meletakkan kemampuan kewangan sebagai teras utama.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini mengesahkan hanya Imigresen FC, Harini FT dan KL Rovers mengemukakan permohonan sehingga tarikh akhir bagi lesen luar biasa untuk menyertai saingan Liga Super 2024/25.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam, tiga pasukan tersebut merupakan tiga pasukan teratas Liga M3 2023 iberstatus juara, Imigresen FC, naib juara, KL Rovers dan pasukan tempat keiga, Harini.
Pada masa sama Effendi Jagan juga berpandangan adalah lebih baik dikekalkan kelab berstatus daya saingan Liga Super dalam kempen musim 2024/25 demi kualiti.
“Jika separuh kelab bertaraf Liga Super, manakala separuh lagi tahap Liga Premier atau mungkin Liga M3 ini bukan sesuatu yang baik untuk perkembangan liga.
“Takkan setiap minggu kita mahu disajikan dengan kelab bertaraf Liga Premier dibelasah kelab bertaraf Liga Super, ini sesuatu yang kritikal.
“Sekiranya, terdapat 10 pasukan daripada 15 pasukan merupakan pasukan tahap Liga Super, adalah lebih baik wujudkan 10 pasukan dengan format liga sedikit berbeza bagi meningkatkan kualiti liga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!