Qasem Soleimani daripada buruh binaan kepada arkitek negara Iran

QASEM SOLEIMANI
QASEM SOLEIMANI
A
A
A

Di tengah-tengah kota Teheran kelmarin, ratusan ribu rakyat Iran berkumpul dan meratap pilu. Ia merupakan pemandangan yang sudah sekian lama tidak terlihat di republik berkenaan.

Kali terakhir perkabungan gergasi seperti itu berlaku kira-kira 30 tahun lalu sewaktu rakyat Iran menangisi kematian pemimpin Revolusi Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini.

Ternyata status Leftenan Jeneral Qasem Soleimani bukanlah calang-calang di mata rakyat Iran. Seluruh Iran berduka dan menangisi kematiannya.

Malah solat jenazah Soleimani diimamkan sendiri oleh Pemimpin Agung negara itu, Ayatollah Ali Khamenei. Pemimpin Agung Iran itu sendiri teresak-esak saat mengimamkan jenazah Soleimani.

Persoalannya, siapakah sebenarnya Soleimani yang kini menjadi pencetus berita di seluruh dunia?

Mengapakah lelaki berusia 62 itu digeruni Amerika Syarikat (AS) sehingga memaksa Presiden Donald Trump nekad mengambil tindakan 'gila' mengarahkan pembunuhannya pada 3 Januari lalu.

Tindakan Trump itu kembali memanaskan suhu iklim politik Tanah Arab. Dalam misi pembunuhan kejam itu, AS melakukan serangan dron MQ-9 Reaper ke atas konvoi Soleimani yang turut mengorbankan timbalan ketua pasukan separa tentera Iraq, Abu Mahdi al-Muhandis di Baghdad.

Trump meluluskan arahan pembunuhan Soleimani menerusi serangan dron di Baghdad, Iraq pada 3 Januari lalu.
Trump meluluskan arahan pembunuhan Soleimani menerusi serangan dron di Baghdad, Iraq pada 3 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Pendakian karier tentera

Dilahirkan pada tahun 1957 di sebuah kawasan perkampungan di Qanat-e Malek di wilayah Kerman, Soleimani bukanlah datang daripada sebuah keluarga kaya raya. Malah selepas menamatkan sekolah pada usia 13 tahun, Soleimani sudah bekerja sebagai buruh binaan untuk membayar hutang bapanya dalam bidang pertanian.

Beberapa tahun selepas itu, beliau bertugas sebagai kontraktor di Kerman Water Organization. Pada usia belasan tahun, banyak masanya dihabis di gimnasium selain menghadiri kuliah-kuliah agama oleh seorang ulama, Hojjat Kamyat.

Sejak itulah, semangat dan penglibatan beliau dalam perjuangan revolusi Iran semakin membuak-buak.

Semangat itulah juga membawa beliau membina karier dalam ketenteraan apabila menyertai Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada tahun 1979.

Antara medan perang paling awal disertainya ialah sewaktu pencerobohan tentera Iraq pimpinan Saddam Hussein pada tahun 1980.

"Saya memasuki perang Iran-Iraq untuk misi 15 hari dan akhirnya tinggal sampai akhir (perang Iraq tamat pada tahun 1988). Kami semua muda dan mahu berkhidmat kepada revolusi," ujar Soleimani mengenai bibit-bibit awal kariernya dalam satu artikel disiarkan The New Yorker pada tahun 2013.

Konvoi kenderaan yang membawa Soleimani dan Abu Mahdi terbunuh dalam serangan pada 3 Januari lalu.
Konvoi kenderaan yang membawa Soleimani dan Abu Mahdi terbunuh dalam serangan pada 3 Januari lalu.

Soleimani pantas memperoleh reputasi dalam pasukan IRGC kerana keberaniannya termasuk kejayaan merampas semula beberapa kawasan tanah yang diduduki Iraq. Pada usia 20-an, beliau sudah dilantik menjadi komandan Bahagian ke-41 Tharallah.

Pada tahun 1998, karier ketenteraannya semakin memuncak apabila menjadi komander tertinggi pasukan Quds, sebuah pasukan elit IRGC.

Keakraban beliau dengan pemimpin-pemimpin utama Iran termasuk Ali Khamenei meletakkan Soleimani semakin berpengaruh. Bahkan, dikhabarkan sosok pemimpin berambut putih dengan jambang itu merupakan orang kedua paling penting di Iran selepas Ali Khamenei.

Arkitek pengembangan Iran

Selama hampir dua dekad mengepalai pasukan Quds, Soleimani berjaya meluaskan peranan dan pengaruh Iran dalam bidang perisikan, kewangan dan politik di luar sempadan republik itu.

Sebaik penubuhan semula kerajaan Iraq pada tahun 2005, Soleimani tidak mengambil masa yang lama untuk memperluaskan pengaruh Iran dalam politik Iraq di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Ibrahim al-Jaafari dan Nouri al-Maliki.

Apatah lagi, pada saat Tanah Arab berdepan dengan ancaman pengganas Islamic State in Iraq and Syria (ISIS), Soleimani mengerahkan unit tentera Syiah, Hashd al-Shaabi yang disokong Iran bertempur bersama-sama tentera Iraq melawan ISIS.

Soleimani dikatakan pemimpin kedua paling berpengaruh di Iran selepas Ali Khamenei. - EPA
Soleimani dikatakan pemimpin kedua paling berpengaruh di Iran selepas Ali Khamenei. - EPA

Penganalis politik, Mohammad Marandi berkata, peranan Qasem Soleimani dalam membantu mengalahkan ISIS menjadikannya wira dalam kalangan rakyat Iran dan negara-negara Asia Barat lain.

"Kalau bukan kerana orang seperti dia, rantau ini akan melihat bendera hitam masih terus berkibar di seluruh rantau ini," kata Mohammad yang juga Ketua Pengajian Amerika Syarikat di Universiti Teheran.

Namun, di mata AS, Soleimani bukanlah seorang perwira sebaliknya di tangannya adalah darah-darah tentara AS. Lelaki yang dikatakan dalam banyak penampilannya kelihatan tenang dan pendiam didakwa Trump ialah seorang teroris yang telah merancang serta menyebabkan ramai tentera AS terbunuh.

Ratusan ribu rakyat Iran membanjiri tengah kota Teheran bagi memberi penghormatan kepada jenazah Soleimani kelmarin. - EPA
Ratusan ribu rakyat Iran membanjiri tengah kota Teheran bagi memberi penghormatan kepada jenazah Soleimani kelmarin. - EPA

"Soleimani secara aktif membangunkan rancangan untuk menyerang diplomat dan anggota perkhidmatan AS di Iraq serta di seluruh rantau tersebut.

"Beliau dan pasukan Qud bertanggungjawab atas kematian ratusan anggota perkhidmatan Washington dan gabungan serta kecederaan ribuan yang lain," menurut Jabatan Pertahanan AS dalam alasannya menghalalkan pembunuhan Soleimani.

Pada tanggal 3 Januari lalu, Soleimani yang diberi gelaran 'revolusi syahid hidup' oleh Pemimpin Agung negara itu akhirnya mengakhirinya khidmatnya kepada kerajaan revoluasi Iran. Semalam, jasad Soleimani selamat dikebumikan di kampung halamannya sendiri di Kerman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!