Mazzarri dipecat 48 jam sebelum aksi Napoli-Barca
NAPOLI yang sedang bergelut dengan masalah prestasi memecat Walter Mazzari, hanya dua hari sebelum kelab tersebut melayan kunjungan Barcelona dalam perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.
Serentak itu, Napoli telah memanggil bekas jurulatih Slovakia, Francesco Calzona bagi mengisi tempat ditinggalkan Mazzarri.
Mazzarri adalah jurulatih kedua yang dipecat juara Itali itu susulan persembahan yo-yo musim ini.
Pengendali berusia 62 tahun itu mengambil alih pada November selepas Rudi Garcia dipecat, namun Napoli kemudian tergelincir ke tempat kesembilan dalam saingan Serie A.
"Saya mengucapkan terima kasih Walter Mazzarri, seorang sahabat kepada keluarga De Laurentiis dan Napoli kerana membantu kelab dalam tempoh yang sukar.
"Sukar untuk memecat seorang sahabat," kata pemilik Napoli, Aurelio De Laurentiis sambil menambah khidmat Calzona ditagih sehingga hujung musim ini.
Calzona membawa Slovakia layak Euro 2024 tetapi kini menggalas tugas berat apabila kembali ke Napoli, di mana dia pernah menjadi pembantu Maurizio Sarri dan semasa musim pertama tanpa trofi di bawah kendalian Luciano Spalletti.
Berusia 55 tahun, Calzona dilaporkan akan menyambung tugasnya dengan Slovakia sambil cuba mengembalikan semula reputasi Napoli.
Selepas pertembungan dengan Barcelona, Calzona berdepan debut yang agak mudah dalam Serie A apabila menentang Cagliari dan Sassuolo yang berisiko diturunkan ke Serie B.
Napoli yang meraih kejuaraan Serie A buat kali pertama sejak 1990 pada musim lalu kini terjerumus di tangga kesembilan ketinggalan 27 mata daripada pendahulu, Inter Milan (63) dengan saingan berbaki 14 perlawanan.
Malah, peluang Napoli untuk layak ke saingan Liga Europa musim depan juga tipis kerana terpaksa bersaing dengan Bologna, AS Roma, Fiorentina dan Lazio bagi meraih slot automatik tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!