Israel beri amaran serang Rafah menjelang Ramadan

Benny Gantz memberi amaran Israel tidak akan teragak-agak memperluaskan operasi ketenteraan di Rafah jika tebusan yang ditahan oleh Hamas tidak dikembalikan menjelang Ramadan. Foto fail Reuters
Benny Gantz memberi amaran Israel tidak akan teragak-agak memperluaskan operasi ketenteraan di Rafah jika tebusan yang ditahan oleh Hamas tidak dikembalikan menjelang Ramadan. Foto fail Reuters
A
A
A

ISRAEL tidak akan teragak-agak memperluaskan operasi ketenteraan di bandar paling selatan Gaza, Rafah jika tebusan yang ditahan oleh Hamas tidak dikembalikan menjelang bulan Ramadan.

Demikian amaran diberikan kata Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz, pada perhimpunan pertubuhan Amerika-Yahudi di Baitulmaqdis, pada Ahad,

"Dunia mesti tahu dan pemimpin Hamas mesti tahu - jika menjelang Ramadan tebusan kami tiada di rumah, pertempuran akan berterusan ke kawasan Rafah," katanya.

“Kami akan berbuat demikian dalam cara yang diselaraskan, memudahkan pemindahan orang awam, dalam dialog dengan rakan Amerika dan Mesir kami, untuk meminimumkan korban awam,” tambahnya.

Ramadan bulan suci umat Islam dijangka bermula pada 10 atau 11 Mac depan.

Israel percaya bahawa 130 tebusan kekal di Gaza - 101 masih hidup dan 29 mati - berikutan serangan pada 7 Oktober lalu yang setakat ini mengorbankan kira-kira 1,200 orang di Israel.

Peperangan Israel berikutnya terhadap Hamas telah membunuh lebih 29,000 orang dan mencederakan 68,000 lagi di Gaza, menurut kementerian kesihatan di enklaf itu.

Kenyataan Gantz merupakan petunjuk paling jelas mengenai garis masa sekitar operasi ketenteraan Israel di bandar selatan Gaza di mana lebih sejuta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal berlindung berhampiran sempadan Mesir.

Artikel Berkaitan:

"Kepada mereka yang mengatakan harganya terlalu tinggi, saya katakan ini dengan jelas: Hamas mempunyai pilihan - mereka boleh menyerah diri, membebaskan tebusan dan rakyat Gaza akan dapat meraikan hari raya suci Ramadan," kata Gantz.

Kenyataan sedemikian dikeluarkan di tengah-tengah perbincangan yang bertujuan untuk memastikan pembebasan tebusan dan gencatan senjata jangka panjang di Gaza.

Dalam cadangan terbaharunya, Hamas menuntut pengunduran tentera Israel secara beransur-ansur dari kawasan itu dan akhirnya menamatkan perang secara kekal, serta pembebasan tahanan Palestin di Israel – termasuk mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup – sebagai sebahagian daripada sebarang perjanjian tebusan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan cadangan Hamas sebagai 'tidak masuk akal'. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!